Lebih 1,124 mesyuarat perniagaan Myanmar-Malaysia di MSE 2015

Lebih 1,124 mesyuarat perniagaan Myanmar-Malaysia di MSE 2015

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) – Lebih 1,124 mesyuarat perniagaan berjaya diatur antara syarikat Malaysia dan Myanmar pada acara Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE 2015) di Yangon yang bertujuan memaparkan keupayaan firma tempatan.

Acara selama empat hari bermula 30 September lepas itu disertai 50 syarikat Malaysia dan dibuka kepada wakil perdagangan pada dua hari pertama manakala hari berikutnya untuk orang ramai.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata ia akan memastikan kolaborasi berterusan dengan Persekutuan Kesatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Myanmar (UMFCCI) bagi mengukuhkan hubungan dagangan dua hala kedua-dua ekonomi itu.

Pengarah Kanan MATRADE, Wan Latiff Wan Musa berkata syarikat Malaysia sewajarnya memanfaatkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara serta menjalin kerjasama.

“Antara sektor yang berpotensi untuk dipertingkatkan termasuk minyak dan gas, produk petroleum, minyak sawit serta makanan diproses dan bahan kimia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Myanmar pada tahun lepas adalah AS$972.1 juta (AS$1=RM4.43), iaitu peningkatan 6.6 peratus berbanding AS$911.6 juta pada 2013.

Dalam kalangan ASEAN, Myanmar adalah rakan dagang serta destinasi pasaran eksport ketujuh terbesar bagi Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA