Lebih $116 juta untuk Kem. Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan

Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan diperuntukkan sebanyak $116,558,840 bagi Tahun Kewangan 2017/2018 di mana ia juga termasuk peruntukan bagi 43 buah perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri.

Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan secara berhemat bagi menampung keperluan perbelanjaan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan

di mana $42.8 juta disediakan untuk gaji kakitangan, $69.45 juta disediakan untuk perbelanjaan berulang-ulang yang antara lain mengambil kira peruntukan seperti kos operasi di dalam dan luar negeri, perbelanjaan promosi perdagangan dan kos pemeliharaan, pembinaan dan pengubahsuaian bangunan-bangunan di bawah kementerian berkenaan di dalam dan luar negeri.

Manakala itu, sejumlah $4.28 juta bagi Rancangan Kemajuan Negara antaranya akan membiayai pembinaan rumah kediaman rasmi perwakilan Australia serta membaik pulih bangunan warisan Bumbungan 12.

Peruntukan bagi kementerian itu, dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof semasa Majlis Mesyuarat Negara bersidang bagi hari keenam di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan.

“Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mengurus beberapa buah bangunan di dalam dan di luar negeri seperti ibu pejabat kementerian, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas termasuk juga Bumbungan 12 serta 80 buah bangunan di luar negeri termasuk pejabat-pejabat perwakilan dan rumah kediaman rasmi.

“Bangunan-bangunan tersebut terutamanya pejabat-pejabat perwakilan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi tetapi juga mengetengahkan tradisi dan budaya kita di dunia luar.”

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa peruntukan itu juga akan digunakan bagi mencapai matlamat-matlamat dasar luar negara yang diamalkan sejak 1984 di mana Negara Brunei Darussalam akan terus mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain berasaskan prinsip saling hormat-menghormati dengan nilai persahabatan dan keamanan.

“Negara Brunei Darussalam akan terus berusaha menjadi ahli masyarakat dunia yang bertanggungjawab.”

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan menawarkan biasiswa kepada penuntut-penuntut dari beberapa buah negara luar untuk belajar di institusi-institusi pendidikan tinggi di Brunei.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan berkata bahawa usaha itu bukan sahaja membina hubungan baik bersama negara-negara berkenaan tetapi juga akan meningkatkan prestij institusi-institusi itu di mata dunia.

Beliau menyatakan bahawa setakat ini, Negara Brunei Darussalam telah menjalin hubungan diplomatik bersama lebih 170 buah negara yang mana ia adalah satu bukti kukuh bahawa sifat bermuzakarah dan bermusyawarah yang diamalkan oleh negara khususnya dalam Melayu Islam Beraja, terus diamalkan dan hubungan diplomatik kita di arena antarabangsa.

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut dalam pembentangannya bahawa tahun 2035 semakin hampir dan persediaan komprehensif sedang dibuat bagi menjayakan matlamat-matlamat yang telah ditetapkan dalam Wawasan 2035 di mana Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkenaan dalam mencapai matlamat-matlamat berkenaan khususnya bagi menghasilkan sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Oleh yang demikian, salah satu tumpuan kementerian berkenaan adalah kepada usaha-usaha ke arah meningkatkan perdagangan antarabangsa khususnya kepada memudahkan perdagangan dan promosi perdagangan serta untuk mengurangkan halangan perdagangan sebagai strategi meningkatkan pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi negara.