Lebih 1,200 orang dipindah, gunung berapi muntah abu, gas

Lebih 1,200 orang dipindah, gunung berapi muntah abu, gas

KUPANG, Indonesia, 19 Jan – Lebih 1,200 orang telah dipindahkan dari rumah mereka untuk menyelamatkan diri daripada gunung berapi yang menggelobok di timur Indonesia dengan memuntahkan abu dan gas bertoksik ke udara.

Para pegawai mengatakan hari ini mereka telah mengedarkan ribuan topeng gas kepada para penduduk di sekitar Gunung Egon di timur pulau Flores ketika asap melemaskan dari gunung berapi berkenaan semakin bertambah hebat.

Kesemua penduduk dalam lingkungan tiga kilometer dari gunung berapi itu diarahkan untuk berpindah dan jalan-jalan telah ditutup. Pihak berkuasa mengatakan mereka bersiap sedia untuk menangani arahan pemindahan skala besar jika situasi itu semakin memburuk.

“Kami ketika ini dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk memindahkan penduduk pada bila-bila masa,” pegawai pengurangan bencana, Silvanus Tobi memberitahu AFP hari ini.

Penduduk yang dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi Egon yang memuntahkan kepulan asap dan gas bertoksik ke udara. - AFP
Penduduk yang dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi Egon yang memuntahkan kepulan asap dan gas bertoksik ke udara. – AFP

Gunung berapi mula bergerobok bulan lepas namun semakin aktif beberapa hari kebelakangan, mencetuskan para penduduknya berpindah dari rumah mereka.

Semasa ledakan serius terakhirnya pada 2008, Gunung Egon mengeluarkan asap dan material gunung berapi hampir enam kilometer ke ruang udara. – AFP