Lebih 13,000 wakaf dikumpul

Lebih 13,000 wakaf dikumpul

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Usaha murni sebuah perkumpulan yang aktif menyemarakkan aktiviti mengaji Al-Quran menggunakan kaedah ‘satu hari satu halaman’ melalui media sosial, untuk menghimpunkan sekurang-kurangnya 3,500 naskhah wakaf Al-Quran menerima keberkatan Ilahi apabila berjaya mengumpulkan lebih 13,000 naskhah kitab suci itu dan takhtim berserta rihal.

Sehubungan itu, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Kumpulan Meraih Barkah Brunei Darussalam telah menyampaikan sumbangan wakaf berupa naskhah Al-Quran, sejadah, telekung dan penyangkut telekung kepada hospital di keempat-empat daerah di negara ini.

Hadir untuk menyerahkan wakaf kelengkapan surau pada majlis yang diadakan di surau tingkat empat, Bangunan Wad Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, ialah kira-kira 40 orang ahli Kumpulan Meraih Barkah yang diketuai oleh Hajah Florinda binti Haji Mejenis.

Pada majlis itu, Hajah Florinda serta beberapa orang ahli kumpulan telah menyerahkan sumbangan wakaf berupa 373 naskhah Al-Quran, 321 helai sejadah, 300 helai telekung dan 25 set penyangkut telekung.

Hadir bagi mewakili Hospital RIPAS untuk menerima masing-masing 100 naskhah Al-Quran, sejadah dan telekung serta 10 set penyangkut telekung ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Haji Muhd Jamal bin Haji Tersad.

Hajah Florinda menyampaikan sumbangan wakaf kepada Haji Muhd Jamal.
Hajah Florinda menyampaikan sumbangan wakaf kepada Haji Muhd Jamal.

Sumbangan wakaf yang berupa masing-masing 100 naskhah Al-Quran, sejadah dan telekung bersama lima set penyangkut telekung juga diserahkan kepada Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait yang diwakili oleh Haji Fadillah bin Haji Aji.

Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong menerima sejumlah 100 naskhah Al-Quran, 70 helai sejadah, 60 helai telekung dan lima set penyangkut telekung, manakala Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Temburong menerima sumbangan 73 naskhah Al-Quran, 51 helai sejadah, 40 helai telekung dan lima set penyangkut telekung.

Menurut Hajah Florinda, sumbangan wakaf kepada surau-surau hospital daerah itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pesakit, pelawat dan kakitangan sedang bertugas untuk menunaikan sembahyang sama ada di wad atau pun di surau yang disediakan.

Beliau berkata, jumlah wakaf yang berjaya dikumpulkan oleh Kumpulan Meraih Barkah melebihi sasarannya, sementara lebihan baki wang sumbangan yang diterima telah digunakan untuk membeli sebanyak 25 set penyangkut telekung untuk diagih-agihkan kepada setiap hospital daerah.

Kumpulan Meraih Barkah ditubuhkan pada Ramadan 2014 dengan matlamat untuk meraih berkat dalam bulan Ramadan dengan menyemarakkan aktiviti bertadarus untuk mencapai 100 kali khatam.

Seterusnya pada 2015, aktiviti amal dan wakaf dalam bulan Ramadan diteruskan oleh Hajah Florinda dan ahli-ahli kumpulan, dan antara wakaf yang mereka terima tidak hanya berupa naskhah Al-Quran, buku takhtim dan rihal, malah juga sumbangan wakaf seperti telekung dan sejadah.

Tumpuan sumbangan wakaf yang dikumpulkan sepanjang 2015 ialah kepada sekolah-sekolah yang memerlukan di setiap daerah.

ARTIKEL YANG SAMA