Lebih 160 maut akibat gempa bumi kuat

Lebih 160 maut akibat gempa bumi kuat

KABUL, 26 Okt (AFP) – Gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud telah mengorbankan lebih 160 orang ketika ia menggegarkan Asia Selatan hari ini, termasuk 12 kanak-kanak perempuan Afghanistan yang dipijak mati dalam rempuhan ketika mereka cuba untuk lari daripada sekolah mereka yang runtuh.

Ribuan orang yang ketakutan berlari keluar ke jalan-jalan di seluruh Afghanistan, Pakistan dan India ketika gempa bumi menggoncangkan seluruh benua kecil.

Gempa bumi berpusat berhampiran Jurm di timur laut Afghanistan, 250km (160 batu) dari bandar Kabul dan pada kedalaman 213.5km, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS).

Pusat gempa hanya beberapa ratus kilometer dari tapak gempa bumi berukuran 7.6 magnitud yang melanda pada Oktober 2005, membunuh lebih 75,000 orang dan memindahkan kira-kira 3.5 juta yang lain, walaupun gempa bumi itu pada paras yang tidak dalam.

Jumlah kematian meningkat dengan pantas di tengah-tengah laporan bangunan runtuh, dengan Pakistan paling teruk dilanda.

Seorang lelaki Afghanistan menggali di sebalik runtuhan bangunan yang musnah selepas gempa bumi kuat melanda perkampungan Ramankheel di lembah Panjshir pada 26 Oktober. – AFP
Seorang lelaki Afghanistan menggali di sebalik runtuhan bangunan yang musnah selepas gempa bumi kuat melanda perkampungan Ramankheel di lembah Panjshir pada 26 Oktober. – AFP
Paramedik Pakistan merawat kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi di sebuah hospital di Peshawar pada 26 Oktober. – AFP
Paramedik Pakistan merawat kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi di sebuah hospital di Peshawar pada 26 Oktober. – AFP

Berita mengerikan muncul ketika sekitar 12 pelajar perempuan telah terhimpit hingga mati di utara wilayah Afghanistan.

“Para pelajar berebut-rebut untuk menyelamatkan diri dari bangunan sekolah di bandar Taluqan (bandar Takhar), sehingga mencetuskan rempuhan,” ketua jabatan pendidikan Takhar, Enayat Naweed memberitahu AFP.

“Seramai 12 pelajar semua kanak-kanak, terkorban dan 35 yang lain cedera.”

Secara berasingan, di wilayah Nangarhar, sempadan Pakistan, enam orang terbunuh manakala 69 yang lain cedera, kata ketua hospital awam tempatan, Najeeb Kamawal kepada AFP.

Sekitar 28 orang yang diketahui telah meninggal dunia di kawasan puak utara Pakistan, 20 di barat laut, tiga di Gilgit-Baltistan dan seorang di Kashmir Pakistan, menurut para pegawai kepada AFP.

Lapan kanak-kanak dikatakan di antara yang terkorban di Pakistan.

Gempa bumi hari ini, yang berakhir sekitar satu minit, menggegarkan bangunan-bangunan di Kabul, Islamabad dan New Delhi.

Kira-kira satu kejutan lanjur melanda sejurus selepas itu, dengan USGS mencatatkan gegarannya pada 4.8 magnitud.

Dalam ramalan statistik di laman webnya, agensi itu mengatakan satu pertiga bilangan kematian boleh mencecah antara 100 dan 1,000 orang, dengan sekitar satu juta dolar, nilai kerosakan boleh berlaku.

Arbab Muhammad Asim, datuk bandar daerah Peshawar, Pakistan mengatakan lebih 100 orang cedera di sana sahaja. “Banyak rumah dan bangunan telah runtuh di bandar,” katanya.

Dr Muhammad Sadiq, ketua perkhidmatan kecemasan di sebuah hospital kerajaan di Peshawar, mengesahkan bilangan mereka yang cedera.

“Ramai lagi yang cedera dikejarkan ke hospital dan ramai lagi yang masih di bawah runtuhan,” Sadiq memberitahu AFP.