Lebih 170 pelajar SMALHB jayakan Program Keagamaan Senegara

Lebih 170 pelajar SMALHB jayakan Program Keagamaan Senegara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Lebih 170 orang pelajar Pra Universiti-2 telah menyertai Program Keagamaan Senegara Persekolahan Arab bagi Bulan Januari tahun ini yang berlangsung di Surau Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini.

Hadir menyertai program tersebut ialah Pemangku Pengetua sekolah berkenaan, Hajah Norjainah binti Haji Buntar.

Program keagamaan ini merupakan misi Jabatan Pengajian Islam (JPI) dalam meningkatkan dan memantapkan sistem pendidikan dan pelajaran agama menerusi pengurusan dan pendekatan yang berkesan serta dinamik melalui persekolahan agama, persekolahan Arab dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, Perlembagaan Negara, Falsafah Melayu Islam Beraja (M.I.B), Falsafah Pendidikan Negara dan undang-undang yang berkaitan.

Hajah Norjainah (kanan) hadir menyertai program tersebut.
Hajah Norjainah (kanan) hadir menyertai program tersebut.
Antara pelajar perempuan yang menyertai program Keagamaan Senegara.
Antara pelajar perempuan yang menyertai program Keagamaan Senegara.

Ia juga bertujuan untuk merealisasikan rancangan strategik JPI dalam meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah agama dan Arab, di samping meningkatkan keberkesanan program kokurikulum.

Selain itu juga, ia dapat memupuk para pelajar ke arah melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program kurikulum.

Antara pengisian dalam program tersebut ialah tazkirah kelebihan Selawat Nabi, bacaan Ratib Al-Attas dan selawat-selawat nabi serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Program tersebut telah berlangsung secara serentak di semua sekolah-sekolah Arab di seluruh negara dengan membawa tema ‘Kelebihan Selawat Nabi’.

ARTIKEL YANG SAMA