Lebih 1,700 purih Burung Pingai berkumpul

Lebih 1,700 purih Burung Pingai berkumpul

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Lebih 1,700 orang terdiri daripada penduduk Kampung Burung Pingai Air, Kampung Burung Pingai Berakas serta penduduk kampung berkenaan yang menetap di Sarawak Malaysia telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Purih Burung Pingai yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kelab Rekreasi Diraja Brunei, hari ini.

Antara yang hadir termasuk Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Suhaili bin Haji Mohiddin.

Pengerusi Majlis, Awang Abdul Hakim bin Mohd Yassin dalam ucapan alu-aluannya berkata, usaha untuk mengumpulkan purih (penduduk) Kampung Burung Pingai Air dan Berakas serta mereka yang menetap di Sarawak memang sudah lama dinantikan dan majlis hari itu merupakan majlis pertama yang dapat mengumpulkan sejumlah besar penduduk dari kedua-dua kampung tersebut.

“Semangat perjumpaan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui Balo kito (Balah Kitani) ke Negara Brunei Darussalam dalam beberapa kumpulan, pada hari ini kitani menyambut dengan penuh rasa kasih sayang,” kata beliau.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut hadir di Majlis Sambutan Hari Raya Purih Burung Pingai.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut hadir di Majlis Sambutan Hari Raya Purih Burung Pingai.
Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Awang Abu Bakar (4 kanan) dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Suhaili bersama purih Burung Pingai yang lain hadir di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Awang Abu Bakar (4 kanan) dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Suhaili bersama purih Burung Pingai yang lain hadir di majlis itu.

Awang Abdul Hakim seterusnya berkata Kampung Burung Pingai telah melahirkan ramai cendekiawan, pembesar negara, tokoh peniaga dan pengusaha.

Contoh jelas ialah orang kenamaan yang hadir pada majlis itu yang terdiri daripada menteri kabinet, timbalan mufti kerajaan dan orang-orang yang disampiri gelaran dan dianugerahkan bintang-bintang kebesaran negara.

Beliau berharap semua tokoh-tokoh berkenaan akan menjadi contoh teladan kepada generasi muda kampung tersebut pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA