Lebih 2 juta jemaah wuquf di Arafah

Lebih 2 juta jemaah wuquf di Arafah

MEKAH, 22 Sept (Agensi/AFP) – Para jemaah haji hari ini mula bergerak ke Arafah untuk berwuquf, bagi melaksanakan rukun penting dalam ibadat haji.

Lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk lebih 400 jemaah haji dari Brunei akan berwuquf di Arafah mulai esok, iaitu selepas 12 hari berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 dan lebih 200 orang cedera, dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku pada 11 September lalu.

Tempoh berwuquf dalam ibadat haji bermula apabila tergelincirnya matahari (masuknya waktu zohor) pada 9 Zulhijah sehingga terbitnya fajar subuh pada 10 Zulhijah.

Dari Padang Arafah, jemaah akan ke Mina untuk melontar jamrah aqabah pada 10 Zulhijah (lusa), sekaligus menandakan ketibaan Hari Raya Korban.

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi tidak bersikap sambil lewa dan telah mengerahkan 100,000 askar untuk mengawasi musim haji.

Antara para jemaah haji ketika mengelilingi Kaabah atau tawaf di Masjid Utama, Masjidilharam di Mekah lewat 21 September. Kemuncak haji dikatakan jatuh pada hari Rabu. – AFP
Antara para jemaah haji ketika mengelilingi Kaabah atau tawaf di Masjid Utama, Masjidilharam di Mekah lewat 21 September. Kemuncak haji dikatakan jatuh pada hari Rabu. – AFP

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mejar-Jeneral Mansour Al-Turki, antara yang digerakkan pada musim haji tahun ini ialah unit elit menangani pengganasan di samping kerahan pegawai polis trafik dan pertahanan awam.

Keadaan cuaca di Mekah ketika ini agak panas tetapi berangin dengan suhu berada dalam lingkungan antara 40 hingga 48 darjah Celsius.

Jemaah haji hari ini menghabiskan masa mereka dengan menunaikan solat dan membaca Al-Quran dengan kemuncak musim haji adalah Hari Arafah, yang jatuh pada hari Rabu.

Dengan bermulanya fasa haji, para jemaah memasuki peringkat berihram – memelihara kesucian yang mana mereka dilarang menggunakan minyak wangi, memotong kuku atau merapikan rambut dan janggut mereka.

Ketika berihram lelaki mengenakan dua helai kain putih yang melambangkan kehidupan semula dan menekankan perpaduan tanpa mengira status sosial dan kewarganegaraan.

Jemaah wanita diwajibkan memakai pakaian longgar yang hanya memperlihatkan wajah dan tangan mereka.

Ibadah haji adalah antara lima rukun Islam dan setiap orang yang beragama Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

“Ini adalah anugerah dari Tuhan yang mana Dia telah memilih kami untuk datang ke sini,” kata Walas Ali, jemaah dari Mesir yang berusia 35 tahun dengan linangan air mata, tambahnya dia amat gembira dapat berada di sana.

Musim haji tahun ini bermula dengan berlatarbelakangkan keganasan pejuang jihad yang semakin meningkat, pertambahan virus berbahaya MERS dan dengan Arab Saudi berperang di Yaman.

Kerajaan Arab Saudi juga telah membelanjakan berbilion rial untuk menambah baik kemudahan-kemudahan infrastruktur di Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah, termasuk menyediakan perkhidmatan tren Makkah Metro serta rangkaian jalan-jalan raya, telekomunikasi dan bekalan elektrik untuk kemudahan dan keselesaan para jemaah.

ARTIKEL YANG SAMA