Lebih 200 anggota keluarga, rakan hadiri majlis memperingati anak kapal MH17

Lebih 200 anggota keluarga, rakan hadiri majlis memperingati anak kapal MH17

SEPANG, 18 Julai – Lebih 200 anggota keluarga dan rakan-rakan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17, yang ditembak jatuh pada 2014, menghadiri satu majlis persendirian bagi memperingati mereka di Bangunan Pengurusan Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini, hari ini.

Majlis itu, yang dianjurkan oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), turut dihadiri para pekerja syarikat penerbangan itu bagi memberi penghormatan dan memperingati 15 anak kapal yang terkorban dalam tragedi itu.

Anak kapal berkenaan adalah di antara 298 orang yang menaiki pesawat Boeing 777 itu, yang ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai, 2014.

Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof berkata majlis itu juga memberi peluang mengukuhkan ikatan persahabatan di antara keluarga dan rakan-rakan MAB.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB Peter Bellew, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan anggota-anggota lembaga dan para pegawai tertinggi MAB.

Balu pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 Ahmad Hakimi Hanapi, Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied bersama anaknya Abderrahman selepas menghadiri memperingati kejadian MH17 di Pusat Pengurusan Pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Balu pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 Ahmad Hakimi Hanapi, Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied bersama anaknya Abderrahman selepas menghadiri memperingati kejadian MH17 di Pusat Pengurusan Pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada majlis itu, keluarga setiap anak kapal diberikan setangkai mawar merah jambu, sebuah kotak hadiah bereben emas dan sumbangan Aidilfitri.

“Ingatan dan doa kami buat semua anak kapal dan penumpang MH17 yang terkorban serta anggota keluarga mereka. Ia adalah insiden yang benar-benar menyedihkan dan sangat tragis,” kata Md Nor.

Selain daripada tayangan slaid mengenai nahas udara itu dan anak kapal berkenaan, Md Nor menyebut setiap nama anak kapal terbabit yang disifatkannya sebagai mereka yang menyayangi, berdedikasi dan memberi tumpuan kepada pekerjaan masing-masing selain ceria.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied, balu pegawai pertama Penerbangan MH17 Ahmad Hakimi Hanapi, berkata beliau berterima kasih kepada MAB kerana menganjurkan majlis itu walaupun selepas pemergiannya dua tahun lepas.

“Ini adalah sesuatu yang sangat dekat di hati kami dan amat bermakna kerana anak kapal yang terkorban terus diingati walaupun selepas dua tahun pemergian mereka,” katanya. –Bernama