Lebih 200 permohonan rekrut polis diterima

Lebih 200 permohonan rekrut polis diterima

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Lebih 200 permohonan diterima oleh Pasukan Polis Diraja Brunei setakat ini, sejak permohonan pengambilan rekrut lelaki dan perempuan bagi tahun 2016 dibukakan bermula 19 Disember lalu.

Pendaftaran masih dibukakan sehingga 29 Disember ini di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis, Gadong, dari pukul 9:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, sementara itu, tarikh akhir mengembalikan borang adalah pada 30 Disember ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya turut menggariskan syarat-syarat dan kelayakan kemasukan perkhidmatan termasuklah pemohon mestilah terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai kad pintar berwarna kuning.

Menurut kenyataan itu lagi, para pemohon dikehendaki membawa risalah perseorangan berserta sijil kelulusan pelajaran yang asal.

Taraf kelamin pemohon lelaki mestilah bujang atau calon-calon cemerlang yang sudah berkahwin mungkin dibenarkan oleh Pesuruhjaya Polis kepada siapa Komandan Pusat Latihan Polis patut merujuk permohonan-permohonan itu untuk mendapat keputusan, manakala itu, bagi pemohon wanita, mestilah bujang.

Sebahagian pemohon lelaki semasa mendaftar bagi pengambilan rekrut Polis 2016 di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis, Gadong.
Sebahagian pemohon lelaki semasa mendaftar bagi pengambilan rekrut Polis 2016 di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis, Gadong.

Mereka mestilah sihat tubuh badan dan memenuhi kelayakan ketinggian 162.56 sentimeter (5 kaki 4 inci) bagi lelaki dan 157.48 sentimeter (5 kaki 2 inci) bagi perempuan, berat badan 50 kilogram ke atas bagi lelaki dan perempuan serta dalam lingkungan umur di antara 18 hingga 28 tahun bagi lelaki dan 18 hingga 25 tahun bagi perempuan.

Bagi kelayakan akademik pula, hendaklah memperoleh dua kepujian (kredit) mata pelajaran Sijil Am Peringkat Biasa (‘O’ Level) atau BDTVEC Pre-National Diploma atau mana-mana kelulusan yang sebanding dan diiktiraf oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam termasuk Sijil BTEC Edexcel Level 2 atau BDTVEC Skill Certificate 2 (SC2) serta Sijil BTEC Edexcel Level 2 Diploma atau BDTVEC Skill Certificate (SC3).

Kelayakan akademik yang lebih tinggi menjadi keutamaan, manakala itu, bagi Sijil BTEC Edexcel Level 2 atau BDTVEC Skill Certificate 2 (SC2) dan Sijil BTEC Edexcel Level 2 Diploma atau BDTVEC Skill Certificate (SC3), pemohon hendaklah meminta surat pengiktirafan daripada Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan.

Sementara itu, bagi syarat-syarat untuk proses kemasukan, para calon yang layak mestilah lulus tiga peringkat ujian dengan peringkat pertama merangkumi pemeriksaan fizikal, ujian kecergasan dan pemeriksaan kesihatan, peringkat kedua termasuk temu duga dan tapisan keselamatan, manakala itu, peringkat ketiga ialah penilaian akhir.