Lebih 200 sahut cabaran memancing

Lebih 200 sahut cabaran memancing

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Cabaran Pancing 2016 Kampung Sungai Matan yang tidak asing lagi dalam kalangan kaki pancing di negara ini telah berlangsung hari ini dengan menyaksikan penyertaan pemancing tempatan dan beberapa pemancing dari negara jiran.

Penganjuran kali ke-8 yang diadakan bagi mengutip derma Tabung Anak Yatim Kampung Sungai Matan telah berjaya menarik 208 orang pemancing, iaitu jumlah paling ramai berbanding penganjuran tahun sebelumnya.

Cabaran pancing dwi-tahunan yang diadakan hanya seminggu sebelum Hari Kebangsaan ke-32 Negara Brunei Darussalam itu juga bertujuan sebagai salah satu sumbangan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Matan untuk memeriahkan sambutan itu.

Perasmian Cabaran Pancing 2016 dilakukan oleh Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Khamis dengan memotong reben pelancaran, manakala upacara penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kolonel (B) Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Gambar ramai pemenang tempat pertama bersama Kolonel (B) Pengiran Zulkifli.
Gambar ramai pemenang tempat pertama bersama Kolonel (B) Pengiran Zulkifli.
Antara peserta Cabaran Pancing 2016 di Kampung sungai Matan.
Antara peserta Cabaran Pancing 2016 di Kampung sungai Matan.
Kolonel (B) Pengiran Zulkifli (kiri) bergambar bersama pemenang tempat kedua.
Kolonel (B) Pengiran Zulkifli (kiri) bergambar bersama pemenang tempat kedua.

Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal berkata, dua kategori baru diperkenalkan pada cabaran tahun ini, iaitu Kategori Perseorangan menangkap ikan dengan pelampung di laut Sungai Matan menggunakan perahu jumpung dalam tempoh satu jam dan peraduan merambat di perahu jumpung dengan mendapat ikan paling banyak yang menawarkan tiga hadiah.

Di akhir pertandingan, Kategori A (Peserta pertama mendapat ikan melebihi 50 gram dalam tempoh 30 minit) diraih oleh Awang Amirul bin Haji Jumaat yang berjaya memancing ikan ketambak seberat 90 gram.

Kategori B yang menyediakan 12 hadiah bagi peserta berkumpulan yang mendapat ikan terbanyak tidak kurang 50 gram seekor dimenangi oleh Kumpulan Juni & Gang, manakala tempat kedua diraih oleh Kumpulan Sumpit-sumpit dan ketiga ialah Kumpulan Kampung Masin.

Sementara itu, Kategori C bagi peserta yang mendapat ikan paling besar mengikut timbangan dimenangi oleh Awang Juni yang menangkap ikan sembilang seberat 1,639 gram, manakala Awang Minan di tempat kedua dengan ikan kerapu seberat 640 gram dan ketiga ialah Awang Asmali yang memancing ikan umpak seberat 354 gram

Awang Azimi bin Haji Bakir memenangi acara baru Kategori D iaitu menangkap ikan menggunakan pelampung, manakala Kategori E, iaitu merambat di perahu jumpung untuk mendapat ikan paling banyak dimenangi oleh Haji Bakir dengan lima ekor ikan, sementara Awang Minan di tempat kedua dengan dua ekor ikan dan Awang Zulkifli yang berjaya merambat seekor ikan di tempat ketiga.

Kategori F yang dikhaskan untuk penyertaan penduduk Kampung Sungai Matan dimenangi oleh Awang Bahar sementara tempat kedua diraih oleh Dayang Fatihah dan Awang Alihan di tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA