Lebih 200 sertai ekspedisi berbasikal

Lebih 200 sertai ekspedisi berbasikal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Sept – Lebih 200 orang dalam kalangan penggemar menunggang basikal telah menyertai acara ekspedisi berbasikal ‘The Lactic Labi Ride’ yang bermula di Taman Rekreasi Sungai Liang dan berakhir dengan majlis penutup di kawasan depan kedai Geotrax Sungai Liang, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian hadiah di acara penutup ekspedisi tersebut petang tadi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Acara bersempena Hari Keluarga Kebangsaan itu dianjurkan bersama oleh Raw Food Asia dengan kerjasama Syarikat Geotrax, AZ Back to Nature dan ASAFF Solution, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kegiatan berbasikal sebagai aktiviti sihat.

Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan jalan raya bagi penunggang basikal, selain untuk menjadikan Brunei sebagai destinasi mesra pilihan peminat berbasikal di rantau ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama penganjur dan peserta ekspedisi berbasikal.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama penganjur dan peserta ekspedisi berbasikal.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan hadiah cabutan utama kepada pemenangnya pada acara penutup ekspedisi berbasikal The Lactic Labi Ride petang tadi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan hadiah cabutan utama kepada pemenangnya pada acara penutup ekspedisi berbasikal The Lactic Labi Ride petang tadi.

Turut menyertai ekspedisi tersebut ialah seramai tujuh orang pakar basikal berlipat dari Hong Kong yang mana penampilan mereka menambahkan lagi semangat para peserta lainnya.

Dengan pengalaman berbasikal sekitar Borneo termasuk Negara Brunei Darussalam mereka turut mempromosikan basikal berlipat yang semakin popular digunakan pada masa ini.

Majlis juga telah menyaksikan penyampaian hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah Scott Mountain Bike bernilai $1,400 yang telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Di samping itu, pihak penganjur juga telah menyediakan beberapa hadiah cabutan bertuah menarik yang lain bagi peserta ekspedisi yang bertuah.

ARTIKEL YANG SAMA