Lebih 200 sertai Gerai Ramadan

Lebih 200 sertai Gerai Ramadan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Jun – Seperti lazimnya pada tahun-tahun yang lalu, setiap kali tibanya bulan Ramadan, tumpuan orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa bersama keluarga adalah di gerai Ramadan yang tumbuh bagai cendawan di sana sini, di seluruh negara.

Di Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menerima lebih 200 permohonan bagi menyertai Gerai Ramadan di kawasan Bangunan Tudung Saji Jalan Setia Diraja Kuala Belait dan di kawasan perkarangan Pasarneka Seria.

Bagi gerai kawasan Kuala Belait, terdapat sebanyak 16 petak bagi kategori menyalai, membakar dan memanggang manakala hanya tujuh petak di Seria, sementara itu bagi petak yang menjual minuman dan makanan siap sedia sejumlah 156 petak disediakan di Kuala Belait dan 28 petak di Seria.

Selain itu, jualan bunga hidup pula sebanyak 24 petak di Kuala Belait dan hanya lima petak di Seria, yang mana secara keseluruhannya sejumlah 201 petak dipenuhi bagi perniagaan dalam bulan Ramadan tahun ini di kedua-dua kawasan gerai Kuala Belait dan Seria.

Sementara itu, pengunjung-pengunjung gerai di Kuala Belait pada tahun ini menyaksikan penyertaan kalangan belia-belia dalam perniagaan secara berkumpulan sesama rakan selain ada yang berniaga bersama ahli keluarga.

Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali turut ditemui membeli belah di Gerai Ramadan, kelmarin.
Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali turut ditemui membeli belah di Gerai Ramadan, kelmarin.

Apa yang membanggakan, salah sebuah gerai yang diusahakan oleh enam orang pemuda Melayu, menjual Murtabak yang lazimnya dibuat oleh orang-orang India.

Manakala itu, sebuah lagi gerai mengetengahkan jualan burger buatan sendiri, yang dikendalikan oleh Awang Abdul Faiz Arifin bin Haji Awang Mohamad bersama 13 orang rakannya, dan ini merupakan tahun keempat mereka menyertai jualan di gerai Ramadan berkenaan.

Salah seorang daripadanya Awang Abdul Faiz Anwar bin Haji Mohamad memberitahu Media Permata, mereka akan menjaga gerai secara berganti-ganti seramai enam ke tujuh orang sehari, produk jualan adalah buatan mereka sendiri dan belajar membuat burger daripada salah seorang rakan mereka yang pernah bekerja di sebuah restoran.

Martabak jadi pilihan – beberapa orang sekawan yang mengambil kesempatan berniaga hanya di Bulan Ramadan.
Martabak jadi pilihan – beberapa orang sekawan yang mengambil kesempatan berniaga hanya di Bulan Ramadan.

Menurut beliau, mereka hanya berniaga sepanjang bulan Ramadan sahaja, dan pada tahun lalu, mereka mampu memperoleh anggaran $500 ke $600 sehari.

Turut ditemui sedang membeli-belah di gerai Ramadan hari ini, ialah Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali, yang sempat menasihatkan orang ramai agar sentiasa berjimat cermat dalam membeli-belah juadah berbuka puasa, supaya tidak timbul budaya membazir bilamana makanan yang dibeli akhirnya dibuang kerana tidak habis dimakan.

Sementara itu, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan semua jualan dan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan terutamanya membuang sampah dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA