Lebih 200 sertai pesta bola sepak AFC

Lebih 200 sertai pesta bola sepak AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Pesta Bolasepak Akar Umbi AFC 2016 anjuran NFABD dengan kerjasama DST dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan bermula di Daerah Brunei Muara hari ini berpusat di Padang Turf NFABD, NFABD House.

Lebih 200 kanak-kanak yang dibahagikan kepada dua kategori: A (6-8 tahun) dan B (9-12) tahun menyertai festival dua tahun sekali bagi meraikan Tahun Akar Umbi AFC bagi 2016 berkenaan.

Menerusi pesta itu kanak-kanak didedahkan kepada keriangan bermain bola sepak bagi menyebarkan hasrat AFC betapa permainan bola sepak adalah untuk semua golongan masyarakat dan sangat bermanfaat dalam menyatukan masyarakat di mana pun jua.

Di sepanjang berlangsungnya pesta itu para peserta bergerak dari satu stesen latihan ke satu stesen latihan untuk suatu tempoh masa tertentu sehingga tamat 10 stesen latihan kesemuanya mereka lalui, dan di setiap stesen itulah mereka dilatih kemahiran asas bola sepak yang berbeza.

Kanak-kanak yang menyertai Pesta Bolasepak Akar Umbi AFC 2016 bergambar ramai dengan ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Kanak-kanak yang menyertai Pesta Bolasepak Akar Umbi AFC 2016 bergambar ramai dengan ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Pesta itu turut menggalakkan penglibatan para ibu bapa/penjaga dalam sama-sama memberikan sokongan kepada anak-anak mereka bermain sukan nombor satu negara dan seluruh dunia berkenaan, yang terbukti disambut baik ibu bapa/penjaga di negara ini dengan kehadiran mereka dari mula hingga tamatnya pesta.

Pesta bolasepak itu akan singgah di Kompleks Sukan Arena, Seria pula pada Jumaat, 20 Mei nanti untuk Daerah Belait, disusuli dengan Kompleks Sukan Tutong pada Ahad, 22 Mei untuk Daerah Tutong dan akhirnya di Kompleks Sukan Batu Apoi pada Ahad, 29 Mei untuk Daerah Temburong.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pesta berkenaan, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang NFABD di www.nfabd.org ataupun menghubungi Haji Rozaimienizam bin Haji Jainal ditalian +673 2380047.

ARTIKEL YANG SAMA