Lebih 200 sertai ‘The Silver Run’

Lebih 200 sertai ‘The Silver Run’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Lebih 200 orang peserta dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyertai Larian ‘The Silver Run’ Sempena Sambutan Hari Guru ke-25 tahun yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan merasmikan larian ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Larian sejauh 2.2km berkenaan dibukakan kepada semua warga Kementerian Pendidikan dan KHEU serta orang ramai.

Terdahulu, acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan yang dipimpin oleh enam orang guru dan 25 orang penuntut dari Sekolah Sukan dengan diketuai salah seorang guru, Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika merasmikan larian tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika merasmikan larian tersebut.
Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan ketika sesi pemanasan badan sebelum memulakan larian.
Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan ketika sesi pemanasan badan sebelum memulakan larian.
Antara peserta Kementerian Pendidikan dan KHEU yang ikut serta.
Antara peserta Kementerian Pendidikan dan KHEU yang ikut serta.

Antara lain tujuan acara ini diadakan adalah untuk mengutip derma bagi bantuan amal iaitu untuk Tabung Aktiviti Sukan dan Kebajikan Kementerian Pendidikan dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya kesihatan tubuh badan melalui aktiviti beriadah seperti acara larian dan untuk memberi peluang warga kementerian memberikan sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan sukarela khususnya anak-anak yatim dan orang kurang upaya menerusi kad kutipan derma.

Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara para pegawai, guru dan warga Kementerian Pendidikan.

Acara ini merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan bagi membantu mengurangkan obesiti dalam kalangan warga perkhidmatan awam khususnya warga Kementerian Pendidikan di samping memperingati dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru 2015.

ARTIKEL YANG SAMA