Lebih 200 syarikat sertai pesta kerjaya

Lebih 200 syarikat sertai pesta kerjaya

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Lebih 200 buah syarikat menyertai Pesta Kerjaya Brunei 2016 anjuran Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Dewan 1 dan 2, Pusat Pameran Pertahanan Antarabangsa Brunei (BRIDEX), Jerudong, bermula hari ini hingga 29 November.

Perasmian pesta berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar yang antara lain menyatakan bahawa pesta berkenaan merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk melibatkan semua sektor perindustrian di seluruh negara secara holistik di dalam satu tempat.

“Apa yang menarik perhatian saya bahawa beberapa kerja kosong telah ditawarkan oleh para pengusaha belia daripada perniagaan sedia ada atau start-ups,” kata Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan ucapan sambil mengucapkan syabas kepada para pengusaha berkenaan kerana telah menunjukkan contoh terbaik dalam mendukung dan menjana pekerjaan dan memperkembangkan usaha anak-anak tempatan.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin juga telah menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara Darussalam Enterprise (DARE) dan Small and Medium Enterprises Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia).

Turut hadir menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin merasmikan Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang berlangsung di Dewan 1, BRIDEX, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin merasmikan Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang berlangsung di Dewan 1, BRIDEX, kelmarin.
Penandatangan MoU di antara DARE dan SME Corp. Malaysia.
Penandatangan MoU di antara DARE dan SME Corp. Malaysia.

Menandatangani bagi pihak DARE ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Soon Loo, manakala itu, pihak SME Corp. Malaysia pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk (Dr.) Hafsah Hashim.

MoU berkenaan adalah usaha untuk mendorong dan menggalakkan kerjasama dalam hal-hal dasar, kepakaran dan perkongsian maklumat berkaitan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia dan Brunei, serta penubuhan rangkaian perniagaan, perindustrian dan lain-lain bentuk kerjasama teknikal antara kedua-dua negara atas dasar kesaksamaan dan faedah bersama.

Datuk (Dr.) Hafsah Hashim ketika ditemui menjelaskan, MoU berkenaan bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka telah menandatangani MoU bersama bekas Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama pada 2010.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah kesinambungan kerja kami dengan kerajaan Brunei, tetapi melalui rakan kongsi yang baru iaitu DARE. MoU ini fokus kepada program kerjasama dan sokongan termasuk pembinaan keupayaan, perkongsian pengalaman dan maklumat,” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai semasa mengunjungi petak pameran QAF Brunei.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai semasa mengunjungi petak pameran QAF Brunei.
Yang Berhormat Pehin melawat ke petak-petak pameran daripada pelbagai syarikat.
Yang Berhormat Pehin melawat ke petak-petak pameran daripada pelbagai syarikat.

Beliau mengharapkan MoU berkenaan adalah mengenai pembaharuan konteks hubungan ASEAN kerana ia bukan sahaja mengenai pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada peringkat kebangsaan, malah penting juga bagi mereka untuk menghubungkan PKS di seluruh ASEAN.

Pesta tiga hari berkenaan menawarkan peluang pekerjaan bagi pelbagai tahap kemahiran dan kelayakan daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, makanan dan minuman, pelancongan dan hospitaliti, pembuatan, kesihatan, pengangkutan dan logistik, pendidikan, perbankan dan kewangan, penerbitan, industri IT dan kreatif, runcit, perkhidmatan serta telekomunikasi.

Pesta ini juga diisikan lagi dengan pelbagai aktiviti termasuk bengkel menulis CV dan kaunseling kerjaya, demonstrasi pekerjaan, temu duga ‘walk-in’, sesi perbincangan kumpulan fokus industri dan keusahawanan, sesi program literasi digital dan sesi ceramah inspirasi yang terbuka kepada semua pencari kerja dan pengunjung secara amnya.

Para pencari kerja mendaftar melalui laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn dengan komputer riba yang disediakan.
Para pencari kerja mendaftar melalui laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn dengan komputer riba yang disediakan.

Selain itu, sesi ceramah mengenai ketabahan, ketahanan dan kejayaan yang menampilkan individu berinspirasi yang bermula dari ‘kosong’ dan telah berjaya dalam kerjaya atau perniagaan turut diadakan untuk memberikan inspirasi dan motivasi kepada pencari kerja tempatan dan menunjukkan kejayaan boleh dicapai dengan ketabahan, daya tahan, komitmen dan kerja keras.

Para pengunjung pesta juga boleh memuat turun aplikasi ‘Job Fair’ untuk mengetahui jadual harian dan program aktiviti, senarai jawatan kosong dan peserta pameran.

Aplikasi berkenaan hanya boleh dimuat turun oleh pengguna Android buat masa ini manakala versi iOS akan disediakan tidak lama lagi. Untuk program dan maklumat pameran, pengguna iOS boleh mengakses maklumat dengan mengimbas kod QR yang akan membawa mereka ke laman sesawang pesta kerjaya.

Para pencari kerja dan sesiapa sahaja yang berminat dialu-alukan untuk datang ke pesta berkenaan dan mereka juga digesa untuk mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA