Lebih 2,000 anggota ATM terlibat perbarisan OP Daulat

KOTA KINABALU, 10 Ogos – Seramai 230 pegawai dan 1,880 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Perbarisan Penganugerahan Battle Honour ‘Daulat Feb 2013’ di Padang Merdeka, di sini esok.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata acara itu diadakan bagi menghargai semua anggota ATM yang terlibat dalam Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu pada Feb 2013.

“Battle Honour ini adalah satu penghargaan kepada panji-panji. Ia (panji-panji) adalah lambang kemegahan kepada perjuangan perkhimatan semua cabang dalam ATM.

“Pada malam itu, lambang peng-hargaan Battle Hounour akan dipasangkan pada panji-panji sebagai penghargaan kepada anggota ATM yang terlibat dalam Op Daulat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas raptai penuh perbarisan itu di sini, malam tadi.

Beliau berkata acara itu akan dilaksanakan berkonsepkan gabungan perbarisan istiadat dan tempur yang akan melibatkan 24 panji-panji rejimen pasukan yang terlibat dalam Op Daulat.

“Selain daripada istiadat perbarisan penganugerahan itu, ATM juga akan mengadakan pameran aset yang digunakan semasa Op Daulat serta pameran promosi kerjaya, persembahan Kawad Senyap dan pancaragam ATM,” katanya.

Mohd Zaki berkata acara itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan kehadiran orang ramai di seluruh Sabah untuk menyaksikan acara berkenaan kerana pelbagai acara akan diadakan pada hari itu,” katanya. – Bernama