Lebih 21,000 sertai sambutan

Lebih 21,000 sertai sambutan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 Tahun 2016 yang akan berlangsung 23 Februari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara bakal menyaksikan penyertaan lebih 21,000 orang peserta terdiri daripada 126 buah pasukan.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, jumlah tersebut termasuk lebih kurang 7,000 orang pelajar yang akan membuat persembahan padang, 5,000 orang akan berbaris mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam dan 500 lagi bagi kumpulan hadrah.

Katanya, pasukan-pasukan yang akan mengambil bahagian nanti terdiri daripada pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan pakaian berseragam, peserta Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), pasukan Orang Berkeperluan Khas (OBK), kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah, persatuan, badan bukan kerajaan (NGOs), wakil daerah-daerah dan sektor swasta.

Bercakap dalam satu sidang media di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS di sini, beliau yang juga selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu ‘Generasi Berwawasan’ dan logo yang keduanya dikekalkan kecuali warna logo dan tahunnya sahaja yang berubah.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika mempengerusikan sidang media berkenaan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika mempengerusikan sidang media berkenaan.

Menurut beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta ahli kerabat diraja yang lain dijangka berkenan berangkat ke upacara kemuncak itu nanti.

Menyentuh mengenai acara-acara lain sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, beliau berkata Majlis Doa Kesyukuran dengan Sembahyang Fardu Maghrib, membaca Surah Yasin dan sembahyang Fardu Isyak berjemaah akan diadakan pada 22 Februari 2016 di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama adalah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Selanjutnya Majlis Khatam Al-Quran 32 Kali akan diadakan pada hari Khamis, 25 Februari di keempat-empat Daerah bagi menyemarakkan lagi semangat dan iltizam kita selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan memohon agar negara Brunei Darussalam ini akan sentiasa dilimpahi keberkatan dan terus membangun dibawah taufik dan hidayah Allah S.W.T jua.

ARTIKEL YANG SAMA