Lebih 240 pelajar cemerlang JPI dirai

Lebih 240 pelajar cemerlang JPI dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Dalam era ledakan info komunikasi masa kini iaitu dunia tanpa sempadan, anak-anak kecil pun sudah terdedah dengan berbagai-bagai gajet yang cukup canggih seperti telefon bimbit, iPad, komputer dan lain-lain yang boleh memberi impak negatif terhadap pembelajaran, persekitaran dan kehidupan mereka.

Kemajuan yang pesat dalam IT ini seperti penggunaan Instagram, WhatsApp, Facebook dan sebagainya telah meledakkan maklumat-maklumat yang jika tidak dikawal penggunaannya memberi kesan yang dapat menjejaskan pemikiran, gaya hidup malah telah mengambil tempat atau ruang masa para pelajar untuk menjadi singkat mengulang kaji dan menghafal mata pelajaran mereka di rumah.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Doktor Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman menambah, ia juga boleh menjejaskan kesihatan kerana mereka sanggup bersengkang mata, kurang tidur yang boleh menjejaskan prestasi pelajar.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para ibu bapa dan guru agar jangan lalai dalam perkara ini kerana mereka berperanan untuk memberikan kerjasama dan bertanggungjawab dalam memastikan, memupuk, dan menyemai rasa kesedaran, minat dan semangat terhadap anak-anak untuk melangkah ke sekolah dengan harapan memperolehi ilmu yang bakal menyuluh kehidupan mereka apabila dewasa kelak.

Yang Berhormat Pengiran Dato menekankan perkara ini ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat di Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang berlangsung di Pusat Persidangan Pertahanan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Di antara pelajar-pelajar yang menerima sijil penghargaan pada hari ini.
Di antara pelajar-pelajar yang menerima sijil penghargaan pada hari ini.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika menyampaikan ucapan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil penghargaan kepada para pelajar yang diraikan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil penghargaan kepada para pelajar yang diraikan.

pg12_150611_c

Seramai 243 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan awam pada tahun 2014 diraikan dan menerima sijil-sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama di majlis itu.

Pemangku Pengarah Pengajian Islam, selaku pengerusi majlis, Hajah Rusita binti Haji Yahya dalam ucapannya menjelaskan, daripada jumlah pelajar yang diraikan, tiga orang menerima sijil penghargaan dan hadiah bagi Kategori Cemerlang Keseluruhan, dua dalam Kategori Pencapaian Tertinggi, dan enam Terbaik Mengikut Jurusan.

Manakala itu, 232 lagi pelajar menerima hadiah dan penghargaan dalam Kategori Pencapaian Terbaik dalam Peperiksaan Awam dan daripada jumlah itu, 42 pelajar terbaik dalam Sijil Tertinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), 29 bagi Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), seorang mencatat pencapaian terbaik bagi Brunei Cambridge GCE O Level, 64 bagi Sijil Sekolah Rendah Ugama Darjah 6 dan 96 orang lagi bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Beliau berkata, persekolahan Arab dan ugama merupakan institusi yang sangat signifikan untuk melahirkan generasi yang berpendidikan agama dan mempunyai sahsiah yang murni.

“Maka ke arah itu, Jabatan Pengajian Islam terus berusaha dan mengadakan beberapa inisiatif dan program-program sokongan bagi meningkat majukan lagi tahap pencapaian akademik para pelajar di persekolahan Arab dan Agama dengan program-program pendidikan antaranya Kuiz Mentor Mentee, Program Motivasi Pelajar Cemerlang, Kuiz SSSRU dan banyak lagi,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar kejayaan yang para pelajar perolehi dapat menjelmakan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi dalam bidang agama, berakhlak mulia dan dapat mengamalkannya sebagai cara hidup yang lengkap sebagai seorang Mukmin.

Majlis penghargaan berkenaan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih para pelajar, selain itu juga sebagai insentif kepada mereka yang diraikan dan memberikan motivasi kepada pelajar yang lain agar terus meningkatkan lagi usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

Di samping itu, majlis ini juga memberi penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar atas sokongan dan dorongan yang mereka berikan dalam sama-sama memastikan kejayaan anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA