Lebih 250 sertai Larian Damai

Lebih 250 sertai Larian Damai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Dengan matlamat untuk menanam sikap dan semangat keamanan dalam kalangan ahli-ahlinya, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Acara Larian Damai bersempena sambutan Hari Perdamaian Antarabangsa 2016 yang berlangsung di Taman Rekreasi Menteri besar, Jalan Menteri Besar, hari ini.

Lebih 250 orang ahli yang terdiri daripada para pesuruhjaya pengakap, pegawai eksekutif pengakap dan pemimpin pasukan pengakap serta ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana dan Pengakap Laut bersama ahli keluarga mereka dari seluruh negara telah bersama-sama mengambil bahagia dalam acara larian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelepasan larian ialah Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Turut hadir ialah Naib-Naib Yang Dipertua, Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad dan Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Hassan, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Abdul Hapidz, Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar serta Penyelaras Perutusan Kedamaian Pengakap, Dayang Liyana binti Salleh.

Acara larian itu merupakan salah satu kegiatan yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Perdamaian Antarabangsa bagi 2016 yang disambut oleh jutaan manusia di seluruh dunia termasuk ahli-ahli PPNBD pada setiap 21 September.

Dato Paduka Haji Idris merasmikan program Larian Damai dengan mengecap tapak tangan ke atas kain pemidang Perutusan Damai.
Dato Paduka Haji Idris merasmikan program Larian Damai dengan mengecap tapak tangan ke atas kain pemidang Perutusan Damai.
Peserta program menunjukkan slogan kedamaian.
Peserta program menunjukkan slogan kedamaian.

Sambutan yang membawa tema ‘Matlamat Pembangunan Lestari: Membangunkan Ketahanan Keamanan’ itu dianjurkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan disokong oleh Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) melalui program Perutusan Perdamaian.

Sehubungan itu, program Larian Damai berkenaan merupakan salah satu inisiatif oleh PPNBD dalam menerapkan kepentingan erti perdamaian dan keamanan sejagat serta dapat mengetengahkan pelbagai aktiviti yang berunsurkan perdamaian dan keamanan kepada dunia luar serta dapat dikongsi kepada semua ahli pengakap, di dalam dan luar negara.

Program itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan memupuk kefahaman betapa pentingnya pengetahuan kepada generasi sekarang serta peranan mereka dalam penjagaan kedamaian dan keamanan di muka bumi ini di samping ahli-ahli pengakap yang menyertai program ini dapat menjalankan kegiatan beriadah bersama ahli keluarga masing-masing dalam suasana harmoni.

Selain daripada larian, para peserta turut mempamerkan beberapa slogan yang antaranya berbunyi ‘Damai Bermula Daripada Saya’ dan ‘Doa Untuk Kedamaian’ serta pelbagai ucapan perdamaian.

Di samping itu, permainan kerjasama berpasukan, nyanyian kedamaian Alele dan mewarnakan tapak tangan dengan warna bagi membentuk corak pokok kedamaian, turut dijalankan bagi memeriahkan lagi majlis.

ARTIKEL YANG SAMA