Lebih 2,500 stesen minyak kini jadi rakan program GTSP

Lebih 2,500 stesen minyak kini jadi rakan program GTSP

KUCHING, 1 Dis – Sejak dilancarkan hampir empat tahun lepas, lebih 2,500 stesen minyak di seluruh negara telah menjadi rakan program “Go To Safety Points” (GTSP), program anjuran bersama Polis Diraja Malaysia dalam usaha memberi bantuan awal kepada orang ramai yang memerlukan, sementara menunggu ketibaan polis.

Ketua Penolong Pengarah (Pendataan Analisa) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Sun Teoh Tia berkata ia membabitkan kolaborasi dengan stesen-stesen minyak Shell, BHP, Petron dan Petronas.

Beliau berkata di Sarawak pihaknya telah mengadakan kursus berkaitan GTSP dengan pengusaha dan penyelia 88 stesen minyak Petronas di Miri pada 28 November lepas, di Sibu pada 29 November, dan di sini hari ini.

“Ia menjadikan sehingga kini 1,067 stesen minyak Petronas di seluruh negara terbabit dengan GTSP ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup kursus GTSP-Petronas Zon Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Apa yang saya nak ‘tekankan’ di sini ialah GTSP ini bertujuan memberi kemudahan kepada orang awam supaya apabila mereka ada keperluan untuk bantuan kecemasan, selain ke balai polis, stesen ini boleh menjadi alternatif untuk dapat bantuan awal,” tambahnya.

Ditanya mengenai rancangan masa depan untuk program ini, Sun tidak menolak kemungkinan untuk berkolaborasi dengan restoran-restoran India Muslim di seluruh negara bagi menjayakannya.

Beliau berkata rakan kolaborasi program ini perlu dipilih dari kalangan pengendali premis yang memiliki cawangan yang banyak di seluruh negara, dan kalau boleh perlu beroperasi 24 jam sehari yang menjadikan restoran-restoran ini wajar dipertimbangkan sebagai rakan GTSP. – Bernama