Lebih 30 BDARA sertai Hari Radio Amatur Sedunia

Lebih 30 BDARA sertai Hari Radio Amatur Sedunia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Sempena sambutan 151 tahun Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan 91 tahun Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU), Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) juga tidak ketinggalan untuk meraikan sambutan Hari Radio Amatur Sedunia 2016 buat kali ke-5.

Sambutan dengan tema ‘Meraikan Sumbangan Radio Amatur kepada Masyarakat’ itu berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, baru-baru ini.

Lebih 30 orang ahli BDARA menghadiri majlis berkenaan termasuk Yang Di-Pertua BDARA, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit, yang turut menyempurnakan perasmian sambutan.

Turut hadir ialah Penasihat BDARA, Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad, ahli majlis BDARA, ahli-ahli BDARA serta para pegawai dari PPNBD.

Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman membuat panggilan ke ‘stesen’ luar.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman membuat panggilan ke ‘stesen’ luar.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bergambar ramai bersama ahli Jawatankuasa BDARA.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bergambar ramai bersama ahli Jawatankuasa BDARA.

Penglibatan dan penggunaan radio telah berkembang daripada sekadar hobi kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan membantu negara dalam menangani musibah bencana alam seperti banjir atau tsunami sebagaimana yang telah berlaku di negara luar.

Tahun ini merupakan kali kelima BDARA meraikan Hari Radio Amatur Sedunia, yang antara lain untuk mengeratkan hubungan sesama ahli serta dengan organisasi yang turut berganding bahu dalam memberikan bantuan. Dalam pada itu, sebagai perancangan pada masa depan, BDARA akan mengadakan jerayawara bagi menambah keahlian BDARA dengan keutamaannya kepada belia-belia di semua daerah.

Di samping itu juga, BDARA akan sentiasa menyertai pertandingan dalam World Wide SSB Contest peringkat Region 3 (OCEANIA) dan ranking ke-19 keseluruhan di seluruh dunia dalam pertandingan itu.

BDARA turut menyatakan harapan agar semua ahli BDARA bergiat lebih aktif dan berinovatif dalam menyelusuri perkembangan IT yang sentiasa berkembang maju mengikut peredaran zaman.

ARTIKEL YANG SAMA