Lebih 30 jenis makanan Indonesia diketengahkan

Oleh Yusrin Junaidi & Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Lebih 30 jenis makanan Indonesia yang dihasilkan oleh pasukan Master Chef Indonesia, William Wongso telah diketengahkan pada Majlis Demo Masakan Indonesia yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Antara masakan yang didemonstrasikan pada sesi demo yang dikendalikan oleh William Wongso itu adalah Asinan Buah Jakarta, Daging Rendang dan Ayam Tangkap Aceh yang mempamerkan cita rasa masakan Indonesia.

Menurut William Wongso, walaupun masakan Indonesia hampir sama dengan masakan Brunei, akan tetapi masakan Indonesia sangat berbeza dari segi bahan-bahan yang unik.

Demo masakan oleh Master Chef Indonesia dengan tema ‘Magnificent Culinary of Indonesia’ itu dianjurkan oleh Kedutaan Republik Indonesia di Brunei bersempena pelancaran Festival Makanan Indonesia dan Festival Disember Brunei 2017.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali memakai apron sambil dibantu oleh William Wongso semasa sesi demo masakan Indonesia.
William Wongso melakukan demonstrasi masakan pada acara tersebut.

Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Republik Indonesia, Arko Hananto Budiadi, ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa Indonesia mempunyai lebih 400 etnik dan setiap etnik mempunyai masakan mereka tersendiri dan menerusi demo itu akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Semasa demo masakan berkenaan, William Wongso memberikan tunjuk ajar memasak masakan daging rendang yang mana tatacaranya memang sangat berbeza dengan masakan daging rendang Brunei.

Selain demo itu, William Wongso juga memberikan nasihat serta tunjuk ajar tatacara memasak bagi mereka yang berminat.

Para jemputan juga disajikan dengan jamuan masakan oleh pasukan tukang masak dari Indonesia yang dibawa khas dari Indonesia.