Lebih 30 polis maut, bas terjunam

Lebih 30 polis maut, bas terjunam

BUENOS AIRES, 14 Dis (Reuters/AFP/dpa) – Sebuah bas membawa para pegawai peronda sempadan Argentina jatuh menjunam ke dalam gaung di wilayah utara Salta hari ini, membunuh kira-kira 30 orang, kata pengarah kecemasan wilayah, Ernesto Flores memberitahu stesen radio tempatan La Red.

“Setakat ini kami dapat mengatakan sekitar hampir 30 yang maut. Antara 50 dan 60 pegawai peronda sempadan yang menaiki bas itu. Beberapa daripadanya masih lagi terperangkap,” ujarnya.

Bas itu membawa para pegawai dari markas Argentina, yang meronda sempadan negara. Salta bersempadan Bolivia, Chile dan Paraguay.

Menurut laporan daripada agensi berita dpa, bas itu terjunam 20 meter dari jambatan ke dasar sungai kering, punca kemalangan masih belum diketahui, namun siasatan awal menunjukkan tayar meletup mungkin akibat nahas.

Datuk bandar Rosario de la Frontera, Gustavo Solis, di utara wilayah Salta mengatakan punca kemalangan pada waktu hampir subuh itu, yang mana bas itu merupakan salah satu daripada tiga karavan yang membawa 60 pegawai polis di dalamnya, masih belum diketahui.

“Sebahagian daripada kami yang mengetahui kawasan itu, akan mengelak untuk memandu pada waktu malam,” kata Solis.

Keselamatan sempadan telah menjadi isu hangat di Argentina ketika negara itu muncul sebagai sebahagian daripada laluan yang digunakan untuk menyeludup kokain Andean ke Eropah dan bagi penyeludup manusia yang menghantar pelarian Syria ke Barat Hemisfera.

Beberapa laporan akhbar menganggarkan sekitar 40 orang telah terkorban, dan kru menyelamat sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Presiden Mauricio Macri, yang dipilih bulan lalu dalam platformnya yang turut memasukkan jalan luar bandar Argentina perlu untuk dipertingkatkan, menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga mangsa nahas berkenaan.

“Kami perlu menaiktarafkan lebuh raya kami oleh itu perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” ujarnya kepada para wartawan semasa sidang berita di wilayah Buenos Aires.