Lebih 300 maut pertempuran etnik

Lebih 300 maut pertempuran etnik

NAIROBI, 5 Ogos (AFP) – Sekurang-kurangnya 310 warga Kenya terbunuh dan lebih 215,000 terpaksa melarikan diri daripada kediaman masing-masing tahun ini akibat keganasan etnik di utara Kenya, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Sementara keganasan di antara kumpulan yang bermusuh adalah perkara biasa di wilayah lembah Rift di utara kenya, jumlah yang terbunuh dan terpaksa melarikan diri sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini sudah pun sama dengan jumlah keseluruhan pada tahun 2014.

“Keganasan akibat konflik antara komuniti berterusan merebak di utara Lembah Rift,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB dalam satu kenyataan.

“Bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2015, 310 orang kehilangan nyawa, 195 mengalami kecederaan dan 216,294 kehilangan tempat tinggal akibat konflik sempadan yang belum diselesaikan, kes kecurian lembu dan serangan balas dendam, perebutan kawasan tanah dan sumber air serta konflik politik.”