Lebih 300 pemandu Taiwan didenda selepas main Pokemon Go

Lebih 300 pemandu Taiwan didenda selepas main Pokemon Go

TAIPEI, 8 Ogos – Hampir 350 pemandu di Taiwan dikenakan denda kerana bermain di telefon mereka selepas Pokemon Go dilancarkan di pulau, yang telahpun mengakibatkan kaki patah dan pengharaman muzium.

Aplikasi permainan telah mencetuskan kegilaan global sejak dilancarkan pada bulan lalu tatkala pengguna memburu watak kartun alam maya yang disertai lokasi dunia sebenar menggunakan teknologi realiti tambahan.

Sejumlah 349 denda dikeluarkan sejak permainan dilancarkan di Taiwan pada Sabtu, dengan majoriti pesalah menunggang motosikal, menurut Agensi Polis Negara. Sementara Pokemon Go telah dipuji kerana memberi motivasi kepada orang untuk menjadi lebih aktif, pihak berkuasa mengingatkan pemain supaya berhati-hati.

“Tangkap makhluk luar biasa itu, tetapi jangan biarkan kemalangan menangkap kamu,” kata Perdana Menteri Taiwan Lin Chuan di laman Facebook kabinet. Pemandu berdepan denda Tw$3,000 sekiranya ditangkap menggunakan telefon mereka, sementara penunggang motosikal perlu menyerahkan Tw$1,000.

Seorang lelaki berusia 20 tahun di Bandar Taipei Baru mengalami lutut patah pada Sabtu selepas terjatuh daripada motosikalnya ketika melihat pada telefonnya, menurut akhbar Apple Daily.

Di Muzium Istana Nasional Taipei, pegawai melarang pelawat daripada bermain Pokemon Go di dewan pamerannya, yang menempatkan artifak berharga daripada sejarah China menjangkau 7,000 tahun.

Di tempat lain, pihak berkuasa berusaha menetapkan had yang ketat untuk pemain Pokemon Go. Di Thailand, pihak berkuasa mengingatkan rakyatnya supaya jangan memasuki stesen pengundian dalam usaha mencari makhluk siber tatkala negara mengundi satu perlembagaan baru semalam.

Iran, yang menyekat kebanyakan berita global dan laman sosial media, mengambil tindakan untuk mengharamkan permainan itu. – AFP