Lebih 30,000 dijangka hadir rumah terbuka Aidilfitri KM Sabah

Lebih 30,000 dijangka hadir rumah terbuka Aidilfitri KM Sabah

KOTA KINABALU, 16 Julai – Lebih 30,000 rakyat pelbagai kaum di Sabah dijangka menyerikan majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kabinet Sabah di Kompleks Sukan Likas, pada Ahad ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata persiapan rapi sedang dilakukan termasuk menyediakan pelbagai juadah tradisional Hari Raya untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

“Saya ingin menjemput semua rakyat Sabah untuk bersama-sama hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Hari Raya ini.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, kita dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan, walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, namun kita boleh bersua muka sekali gus meraikan perayaan ini bersama,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan untuk majlis rumah terbuka itu, di sini hari ini.

Majlis rumah terbuka itu akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari. – Bernama