Lebih 320 permohonan LTO dilulus sejak 2014

Lebih 320 permohonan LTO dilulus sejak 2014

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Lesen Untuk Operasi (LTO) bagi kegunaan terhad bagi kapal-kapal asing dihasrat dapat mempromosi keselamatan jiwa di laut, maritim sekuriti serta untuk melindungi alam sekitar laut di perairan Negara Brunei Darussalam.

Sejak September 2014, Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan telah menerima dan meluluskan lebih daripada 320 permohonan bagi LTO di mana ia adalah bagi pelbagai operasi perkapalan termasuk kerja pengorekan, pemunggahan batu dan pasir serta bagi kerja penundaan untuk kegiatan pembinaan luar persisiran pantai.

Daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 42 permohonan adalah bagi 2014, 260 permohonan bagi 2015 dan setakat ini, bagi 2016, sebanyak 22 permohonan telah diterima oleh Jabatan Laut, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Laut, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar semasa Forum Permohonan Lesen Untuk Beroperasi (LTO) Bagi Kegunaan Terhad bagi Kapal-kapal asing yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, hari ini.

Hadir semasa taklimat itu ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para jemputan yang terdiri daripada syarikat-syarikat dan ejen-ejen perkapalan.

Semasa taklimat itu juga, Haji Mohd Salihin turut mengongsi beberapa hasil dapatan daripada pemeriksaan oleh pegawai-pegawai Jabatan Laut yang bertugas ketika membuat pemeriksaan di atas kapal-kapal.

Haji Mohd Salihin ketika memberikan penerangan pada forum berkenaan.
Haji Mohd Salihin ketika memberikan penerangan pada forum berkenaan.

Menurutnya, antara hasil dapatan itu adalah, terdapat kapal yang tidak mempunyai buku jadual air pasang dan surut bagi perairan Brunei, terdapat juga kapal yang tidak mempunyai Sijil Perdagangan bagi kapal berkenaan, carta dan penerbitan nautika yang tidak dikemaskinikan, kod warna yang tidak tepat bagi paip di dek dan di bilik enjin, keadaan kebersihan yang kurang memuaskan di atas kapal seperti bagi tandas dan kawasan dapur kapal serta kerosakan pada peralatan LSA dan FFA.

Forum tersebut diadakan bertujuan bagi memberigakan maklumat-maklumat terkini mengenai permohonan dan proses bagi ‘Application of Licence To Operate (LTO) for Restricted Use of Foreign Vessel,’ di mana semasa forum itu penerangan diberikan mengenai objektif LTO, proses-proses permohonan LTO dan perkara-perkara atau kesalahan-kesalahan yang lazim didapati semasa pemeriksaan kapal dijalankan.

Menerusi sesi forum itu, ia diharap dapat menambahkan lagi maklumat dan pengetahuan kepada pengguna-pengguna dan syarikat perkapalan selaras dengan misi Jabatan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengawalan pencemaran daripada kapal-kapal di perairan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA