Lebih 3,400 penghijrah diselamatkan

Lebih 3,400 penghijrah diselamatkan

ROM, 3 Mei (AFP) – Lebih 3,400 penghijrah diselamatkan di laut semalam, terutamanya di perairan Libya, ketika Eropah mencari jalan untuk menangani begitu ramai orang yang cuba sampai ke pesisirnya ekoran siri-siri nahas kapal yang membawa maut.

Sejumlah 3,427 orang diselamatkan ketika operasi yang diselaraskan oleh pengawal pantai Itali.

Sementara mereka mengatakan pada hari itu adalah ‘hari paling sibuk’, ia bukanlah satu rekod bagi pengawal pantai, yang menyelaraskan usaha menyelamatkan 3,791 penghijrah pada 12 April lalu dan 2,850 orang lagi hari berikutnya.

Bot peronda Perancis, Commandant Birot, yang dihantar untuk meningkatkan usaha rondaan EU untuk menangani pemasukan beramai-ramai bot penghijrah di Mediterranen, telah menyelamatkan 217 orang di perairan pantai Libya.

Para penghijrah – kesemuanya lelaki – telah berada di atas tiga buah bot, menurut pihak berkuasa, menambah kata bahawa dua orang penyeludup yang disyaki juga ditangkap dan akan diserahkan kepada polis Itali.

Di Itali, pengawal pantai mengumumkan pada lewat malam bahawa 16 buah kapal telah menyelamatkan sejumlah 3,427 orang semalam dalam operasi yang diselaraskan dari kapal kastam Itali dan dua buah kapal tunda.

Paling ketara, pihak tentera laut melalui Twitter berkata kapal perang Bersagliere telah menyelamatkan 778 penghijrah manakala bot ronda Vega telah menyelamatkan 675 orang lagi.

Sebilangan penghijrah yang diselamatkan dijangka tiba semalam di pulau Lampedusa, Itali, yang paling dekat dengan pantai Afrika, manakala kebanyakan yang lain dijangka tiba di Sicily atau selatan Itali pada malam ini.

Menurut pengawal pantai Itali, kapal peronda Perancis seharusnya menurunkan penghijrah-penghijrah di pelabuhan Calabria.

Beratus-ratus penghijrah, kebanyakannya warga Afrika tetapi juga ramai warga Syria melarikan diri dari peperangan di tanah air mereka, setiap hari di pantai Itali selepas diselamatkan oleh pengawal pantai dan tentera laut Itali.

Ekoran siri-siri nahas kapal yang membawa maut yang mengorbankan lebih 1,200 orang dalam bulan April, para pemimpin Eropah pada sidang mesyuarat khas pada 23 April lalu bersetuju untuk mengukuhkan kehadiran EU di laut dalam usaha menghentikan gelombang orang pelarian yang cuba sampai ke Eropah.

Mereka memutuskan melipatgandakan pembiayaan bagi operasi Triton, yang dikendali Frontex, agensi sempadan yang sebelum ini tiga juta euro sebulan.