Lebih 3,700 peserta sertai ‘The Run’

Lebih 3,700 peserta sertai ‘The Run’

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Lebih 3,700 peserta akan menyertai Larian Amal ‘The Run’ dengan tema ‘Where Every Steps Matters’ yang akan diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) 24 Mei nanti.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin Abdul Wahab, yang juga selaku Pengerusi ‘The Run’ semasa mempengerusikan sidang media petang tadi yang berlangsung di Orchid Garden Hotel, Berakas.

Turut hadir semasa sidang media itu juga ialah wakil-wakil penaja dan penyokong rasmi larian amal ‘The Run’.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan, seramai 233 peserta telah menyertai kategori larian 21km, 689 peserta menyertai larian 12km, 1,725 peserta bagi acara 5km, dalam 1,000 peserta menyertai 2.5km Fun Run dan hampir 500 peserta bagi kategori Orang Berkeperluan Khas termasuk para ibu bapa dan penjaga mereka. Di samping itu, terdapat juga penyertaan daripada peserta luar negara bagi Kategori Terbuka 21km A dan B dan Kategori 21km khas bagi penduduk tempatan.

Penyertaan dari negara luar untuk Larian 12km yang dibuka kepada peserta negara ASEAN seperti Thailand, Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Dato Paduka Haji Mohammad Alimin semasa mempengerusikan sidang media petang kelmarin.
Dato Paduka Haji Mohammad Alimin semasa mempengerusikan sidang media petang kelmarin.
Peta laluan The Run 2015.
Peta laluan The Run 2015.

Dato Paduka Haji Mohammad Alimin turut menyentuh mengenai Pengambilan Kit Larian (Running Kit) yang akan diadakan pada 21, 22 dan 23 Mei ini bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang di Tingkat 1, Stadium Tertutup.

Katanya lagi, peta laluan telah disiapkan oleh Persatuan Atletik Brunei (BAA) dan peta ini akan dipaparkan semasa Pengambilan Kit Larian (Running Kit) nanti.

Beliau turut menyeru para peserta agar dapat berada di Stadium Tertutup KSNHB sebelum jam 6 pagi kerana jalan raya akan ditutup dan larian akan dijangka bermula kira-kira jam 6 pagi setelah selesai sesi memanaskan badan dan senam robik.

Selain itu juga, beliau berharap agar larian amal tahun ini akan dapat berjalan dengan lancar dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan, penderma, penaja dan para sukarelawan yang telah memberikan bantuan dan sokongan tidak henti-henti terhadap menjayakan The Run tahun ini.

Larian ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai dan sektor korporat untuk menderma kepada Dana Pusat Ehsan yang sebahagiannya digunakan bagi membiayai program operasi dalam pembelajaran, kerjaya dan pemulihan untuk orang-orang istimewa di bawah pusat berkenaan.

Di samping itu juga ia turut memupuk sifat saling peka atas kepentingan dan menggalakkan mempunyai hidup sihat kepada orang awam dan para generasi belia pada masa kini.