Lebih $4 juta wang zakat diterima

Lebih $4 juta wang zakat diterima

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menerima wang zakat berjumlah lebih $4.2 juta daripada wang zakat pemegang akaun Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Perbadanan TAIB menyerahkan zakat yang dikumpulkan daripada seramai 3,931 orang pemegang akaun yang telah memberikan kebenaran kepada Perbadanan TAIB untuk membuat potongan zakat daripada akaun simpanan mereka bagi tempoh Januari hingga Disember 2015 yang berjumlah $4, 257,415.13.

Wang zakat penyimpan-penyimpan wang simpanan di Perbadanan TAIB itu diserahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua MUIB, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Ketua Hakim Syarie selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Pemangku Setiausaha MUIB Haji Abdul Aziz bin Haji Akop; Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Awang Rosdi Amin bin Yaakob, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan MUIB dan Perbadanan TAIB.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan zakat penyimpan-penyimpan wang Perbadanan TAIB kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan zakat penyimpan-penyimpan wang Perbadanan TAIB kepada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Menurut kenyataan Perbadanan TAIB, jumlah zakat yang diserahkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus daripada zakat yang dikumpulkan pada 2014, berjumlah kira-kira $3.58 juta.

MUIB merupakan Badan Ugama Islam tertinggi di Negara Brunei Darussalam yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan serta agihan wang zakat iaitu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam Brunei dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi Bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

Sementara itu, Perbadanan TAIB ditubuhkan pada 29 September 1991 sebagai institusi kewangan Islam pertama yang menawarkan produk kewangan dan perkhidmatan mengikut prinsip syariah. Potongan zakat merupakan salah satu daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perbadanan TAIB kepada pelanggan-pelanggannya.

Wang zakat yang diterima itu akan diagihkan kepada asnaf zakat yang berhak di Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada asnaf miskin, mualaf, amil, Al-Gharimin dan ibnu sabil.

ARTIKEL YANG SAMA