Lebih 40 sertai perkampungan Sivik

Lebih 40 sertai perkampungan Sivik

Oleh Hajah Saemah Kepli & Anwar Rosli

 

KUALA BELAIT, 24 Ogos – Lebih 40 mahasiswa-mahasiswi yang sedang menuntut di universiti-universiti luar negara dan institusi pengajian tinggi tempatan telah mengadakan kunjungan hormat ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait sebagai sebahagian daripada program Perkampungan Sivik, di sini, hari ini.

Program anjuran bersama oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan serta kerjasama Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan itu berlangsung selama lima hari bermula 22 Ogos lalu.

Ketua Unit Kenegaraan Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Haji Dayang bin Haji Kasim semasa ditemui di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, di Jalan Maulana di sini, menjelaskan perkampungan itu merupakan salah satu usaha untuk mendedahkan kepada mahasiswa-mahasiswi mengenai hal ehwal kerajaan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung mana-mana agensi yang terlibat dalam program menerusi taklimat dan lawatan-lawatan di seluruh negara.

“Program ini diadakan dua kali dalam setahun semasa ‘semester break’ dan dalam percutian daripada pengajian mereka, kumpulan ini akan dibawa ke satu daerah dan kali ini Mukim Labi di Daerah Belait menjadi tumpuan kami,” tambah Haji Dayang.

Menurut beliau, ada yang di antara mereka tinggal di kawasan-kawasan bandar atau pekan dan berkemungkinan jarang pergi bahkan mengetahui kepelbagaian yang ada di tempat yang seperti dinyatakan awal tadi.

pg05_150825_a

Awang Hanapi ketika menyampaikan taklimat mengenai Mukim Labi.
Awang Hanapi ketika menyampaikan taklimat mengenai Mukim Labi.
Haji Dayang semasa memberi taklimat kepada mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam Program Perkampungan Sivik.
Haji Dayang semasa memberi taklimat kepada mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam Program Perkampungan Sivik.
Antara mahasiswi yang menyertai Perkampungan Sivik dalam lawatan ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, kelmarin.
Antara mahasiswi yang menyertai Perkampungan Sivik dalam lawatan ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, kelmarin.

“Inilah yang kami mahukan daripada mahasiswa-mahasiswi ini, pengalaman yang boleh diambil dan dipelajari mengenai tempat-tempat yang dilawati. Seperti contoh pada tahun lepas mereka dibawa ke kawasan pedalaman di Daerah Tutong di mana mereka mempelajari mengenai ‘ambatar’, ulat yang dimasukkan ke dalam sagu yang boleh dimakan.

“Kepentingan akan kewujudan perkara-perkara sebegini merupakan pengetahuan yang berguna kepada mereka kerana ia akan dapat berhasil dalam membuka mata dan minda mereka kepada perkara yang mereka pelajari daripada taklimat-taklimat yang disampaikan,” jelasnya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar mahasiswa-mahasiswi yang menyertai Perkampungan Sivik tahun ini akan dapat mengambil kemahiran dan mempelajari sesuatu ilmu yang berguna daripada masyarakat kampung walaupun negara ini sudah berada dalam era progresif dan moden.

Semasa kunjungan tersebut, para peserta juga berkesempatan mendengarkan taklimat mengenai Mukim Labi yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Labi/Ketua Kampung Labi 1, Awang Hanapi bin Haji Siput.

Kemudian selepas menunaikan sembahyang fardu Zuhur di Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, peserta bertolak ke Mukim Labi semula untuk lawatan beberapa tempat di daerah ini kemudian diteruskan lagi sehingga malam ini dengan mendengarkan beberapa taklimat termasuk daripada Jabatan Penerangan yang bertajuk ‘Menghayati Bendera Negara Brunei Darussalam dan Lagu Kebangsaan’.

Perkampungan kali ini yang diadakan di Dewan Serba Guna Mukim Labi diisi dengan pelbagai aktiviti yang mengajar para peserta supaya berdikari, mampu memantapkan rohani, fizikal dan ilmu pengetahuan bagi mengukuhkan benteng pertahanan supaya akan lebih kental berhadapan dengan cabaran sebagai seorang pelajar.

Menerusi program itu, sebanyak 10 taklimat disampaikan oleh para pegawai dari jabatan-jabatan kerajaan antaranya Jabatan Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Daerah Belait, Urus Seti Pemberigaan Hukuman Kanun Syariah 2013, Biro Kawalan Narkotik, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI), Pasukan Polis Diraja Brunei, Sekretariat Tetap Wawasan 2035, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Jabatan Adat Istiadat Negara dan iCentre.

Selain itu para peserta juga dibawa melawat ke beberapa perusahaan yang terdapat di Daerah Belait, termasuk Kolam Ternakan Udang Galah Syarikat Tani Deli Duman dan Ladang Ternakan Kambing, Lembu dan Itik serta menyaksikan proses pembuatan telur masin di No. 466 Kampung Rampayoh Labi 2 Mukim Labi, hari ini.

Mereka juga akan dibawa melawat ke Syarikat Brunei Methanol (BMC) di Taman Industri Sungai Liang (SPARK) dan iCentre Kampung Anggerek Desa pada hari terakhir esok.

Perkampungan Sivik kali ini juga diisikan dengan program kepimpinan yang diberi nama “Kursus Titik Teroka” yang dikelolakan oleh Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD).

ARTIKEL YANG SAMA