Lebih 400 juta guna Instagram

Lebih 400 juta guna Instagram

SAN FRANCISCO, 24 Sept (AFP) – Laman perkongsian gambar Instagram melonjak melepasi bilangan 400 juta pengguna dengan lebih 80 juta imej dikongsi setiap hari.

Bilangan pengguna yang memuat naik gambar dan klip video setiap bulan di Instagram meningkat daripada 300 juta awal tahun ini, hampir 100 juta melebihi jumlah pengguna bulanan Twitter.

“Pengguna Instagram terus merakam gambar dan klip video menakjubkan di setiap pelosok Bumi.

“Lebih separuh daripada 100 juta pengguna baharu Instagram tinggal di Eropah atau Asia, manakala pertumbuhan tertinggi dicatat di Brazil, Jepun dan Indonesia,” kata laman web itu dalam satu kenyataan.

Senarai pengguna Instagram berprofil tinggi terkini yang berjaya menarik ramai pengikut turut termasuk David Beckham, Caitlyn Jenner dan Toni Kroos.

Pada awal bulan ini, Instagram mengumumkan rancangan untuk meluaskan tawaran kepada pengiklan bagi membantu mereka menerokai pasaran global. Pengiklan kini berpeluang melancarkan kempen dalam pelbagai format termasuk iklan video sehingga 20 saat.

Dibeli oleh laman jaringan sosial Facebook pada 2012, Instagram sebelum ini menyediakan ruang pengiklanan yang terhad.

Susulan inisiatif tersebut, firma pemantauan industri, eMarketer menganggarkan perolehan global Instagram tahun ini meningkat kepada AS$600 juta.

Dalam pada itu, Twitter masih mencari seorang ketua baharu sejak Dick Costolo mengumumkan pengundurannya pada 12 Jun lepas dengan jawatan itu dipangku pengasas bersamanya, Jack Dorsey sejak 1 Julai lalu.

ARTIKEL YANG SAMA