Lebih 400 pen...

Lebih 400 pengakap sertai Perkhemahan PPNBD ke-22

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi bakat dan kemahiran dalam ilmu pengakap serta untuk mencetus minda yang berdaya maju, lebih daripada 400 orang ahli pengakap dari beberapa buah negara telah menyertai Perkhemahan Pengakap Kebangsaan ke-22, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan, PPNBD, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian perkhemahan berkenaan ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas; Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; timbalan ketua pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin-pemimpin pasukan, para ahli pengakap serta jemputan khas.

Perkhemahan yang membawa tema ‘Membangun Keperibadian Generasi Muda Melalui Kaedah Berpengakap’ tersebut disertai oleh ahli-ahli pengakap daripada PPNBD, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Negeri Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Gerakan Pramuka Indonesia.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom merasmikan pembukaan perkhemahan berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom merasmikan pembukaan perkhemahan berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom memukul gong bagi merasmikan perkhemahan itu.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom memukul gong bagi merasmikan perkhemahan itu.
Bacaan ikrar persetiaan pengakap.
Bacaan ikrar persetiaan pengakap.
Di antara ahli-ahli pengakap yang menghadiri perkhemahan berkenaan.
Di antara ahli-ahli pengakap yang menghadiri perkhemahan berkenaan.

Perkhemahan tersebut yang melibatkan penyertaan daripada ahli-ahli pengakap tunas, pengakap muda, pengakap remaja dan pengakap kelana itu antara lain bertujuan bagi memberikan peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman, kemahiran semasa berkhemah, bekerjasama dalam satu pasukan, membina sifat-sifat kepimpinan serta mengenali rakan sebaya baru dengan semangat persaudaraan yang kukuh.

Selain itu, perkhemahan itu juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan pembelajaran ilmu pengakap mereka, membina jati diri dan sifat-sifat kepimpinan mereka dan seterusnya membentuk sifat dan sikap yang kental, cekal, berinisiatif serta produktif.

Menerusi pelbagai kegiatan yang dianjurkan sepanjang perkhemahan yang bermula dari 19 hingga 23 Mac itu, ia diharap dapat melahirkan barisan pelapis kepimpinan generasi masa depan.