Lebih 4,000 fragmen tulang ditemui di Mexico

Lebih 4,000 fragmen tulang ditemui di Mexico

TORREON, Mexico, 10 Okt – Lebih 4,000 serpihan tulang telah ditemui di sebuah ladang di rantau utara Mexico yang dibelenggu keganasan sejak 2015, tetapi kebanyakan rangka itu hanya berkaitan dengan tiga mayat.

Sebuah persatuan yang terdiri dari keluarga orang yang hilang, iaitu persatuan Grupo Vida atau Life Group, telah melancarkan usaha mencari di kawasan Patrocinio, di lereng gunung di negeri Coahuila, bagi rangka-rangka insan-insan kesayangan mereka.

Silvia Ortiz, jurucakap kumpulan itu berkata kira-kira 700 serpihan tulang ditemui pada minggu lalu dalam apa yang disifatkannya kawasan sebagai ‘penghapusan memandangkan keadaan tulang-tulang itu.”

Itu adalah penemuan suram terbaru yang dibuat oleh anggota keluarga orang yang hilang di Mexico, sebuah negara yang mana 28,000 orang dilaporkan hilang di tengah-tengah keganasan dadah.

Kerajaan negeri Coahuila lewat semalam mengakui bahawa 3,488 serpihan tulang termasuklah tulang rahang, gigi dan tulang jari telah ditemui antara awal 2015 dan Isnin lalu, meskipun kenyataan itu tidak menyebutkan tentang penemuan terbaru yang menggerunkan itu.

Tahap hangus tulang-tulang itu menunjukkan bahawa “mayat-mayat mangsa telah dibakar dengan bahan api untuk tidak memungkinkan mengenal pasti identiti mangsa,” menurut kenyataan itu lagi. “Bukan 3,488 orang,” kerajaan menekankan.

“Menerusi serpihan ini, kami dapat memastikan ia milik kepada tiga orang yang berlainan” melalui ujian forensik.

Grupo Vida adalah antara kumpulan-kumpulan yang dibentuk oleh anggota keluarga mereka yang hilang di Mexico dalam beberapa tahun kebelakangan untuk mereka sendiri mencari kubur rahsia kerana pihak berkuasa tidak mampu mencari insan-insan kesayangan mereka.

Pertubuhan seumpama itu telah muncul di negeri-negeri lain, dengan ramai keluarga mendapat inspirasi daripada perjuangan yang dilancarkan oleh para ibu bapa 43 orang pelajar yang hilang selepas mereka diculik oleh polis di bandar Iguala, negeri selatan Guerrero, pada September 2014.

Grupo Vida memulakan pencariannya di perbandaran San Pedro de las Colonias pada Januari 2015. Mereka telah ditemani pakar-pakar forensik dan para penyiasat negeri Coahuila. Mereka melancarkan usaha mencari di Patrocinio selepas menerima maklumat dari penggembala-penggembala kambing. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA