Lebih 4,000 terlibat kaji selidik penyakit tidak berjangkit

Lebih 4,000 terlibat kaji selidik penyakit tidak berjangkit

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Seramai 4,321 orang yang dipilih secara rambang oleh Kementerian Kesihatan akan terlibat dalam Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (KKPPTB) di seluruh negara yang dilaksanakan selama enam bulan bermula hari ini hingga 30 Januari 2016.

Kaji selidik yang melibatkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam daripada pelbagai kaum, berumur 18 hingga 69 tahun itu merupakan satu langkah awal pengawasan tahap kesihatan penduduk negara ini.

Pegawai Perubatan Kanan dan Ketua Pusat Promosi Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa KKPPTB, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim pada sidang media yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan hari ini menjelaskan, KKPPTB ini merupakan kaji selidik yang bertaraf antarabangsa dan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut beliau lagi, hasil daripada kaji selidik berkenaan akan dibuat perbandingan dengan kaji selidik seumpama yang dikendalikan di negara-negara ahli yang lain.

Kaji selidik ini antara lain bertujuan untuk menilai status dan kadar penyakit tidak berjangkit yang pada masa ini banyak dihidapi oleh penduduk di negara ini selain sebagai kesinambungan kepada pemantauan dan pengawasan berterusan status kesihatan penduduk di Brunei amnya.

Dr Awang Zainal Ariffin (tengah) ketika mempengerusikan sidang media tersebut.
Dr Awang Zainal Ariffin (tengah) ketika mempengerusikan sidang media tersebut.
Dr Hajah Norhayati menjelaskan lebih 4,000 orang yang terpilih akan terlibat dalam kaji selidik ini.
Dr Hajah Norhayati menjelaskan lebih 4,000 orang yang terpilih akan terlibat dalam kaji selidik ini.

“Selain itu, ia juga adalah untuk memenuhi beberapa keperluan yang digariskan dalam BruMAP NCD 2013-2018 dan sebagai pemantauan di peringkat serantau dan sejagat oleh pihak ASEAN dan WHO,” tambahnya.

Seramai 50 orang pengumpul data yang bertauliah terdiri daripada jururawat dan paramedik, penyelidik berkelayakan dan pegawai di Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) akan terlibat dalam kajian ini.

“Kajian ini akan dilaksanakan di rumah-rumah terpilih dan maklumat akan dicatat dengan menggunakan alat elektronik PDA,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik, Pusat Promosi Kesihatan selaku Penyelaras dan Ketua Kaji Selidik Jawatankuasa KKPPTB, Dayang Lubna binti Haji Abdul Razak pula menjelaskan langkah-langkah kaji selidik dilaksanakan, yang menurutnya, ia memfokuskan kepada pengumpulan data mengenai faktor risiko PPTB di mana peserta perlu menjalani tiga langkah untuk kajian tersebut.

Langkah pertama adalah pengumpulan data dengan membuat lawatan ke rumah-rumah terpilih seterusnya temu bual peserta dan langkah kedua peserta diminta untuk membuat pendaftaran di pusat kesihatan berdekatan menggunakan Bru-HIMS seterusnya menjalani pemeriksaan ukuran badan dan sukatan tekanan darah.

Manakala itu, langkah ketiga, jelas beliau lagi, ialah pengambilan darah yang mana ia penting untuk mendapatkan data tepat, dan dalam langkah ketiga ini, peserta dikehendaki berpuasa selama 12 jam sehari sebelum ke pusat kesihatan iaitu dari pukul lapan malam hingga lapan pagi.

Beliau juga menjelaskan, 50 pengumpul data yang terlibat, sebelum ini, telah menghadiri bengkel bagi memastikan pengumpul data lebih bersedia menjalankan kaji selidik selain melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan tatacara menjalankan kajian secara profesional serta kaedah pengumpulan data dan pengawalan maklumat berkualiti yang diperolehi.

“Penduduk yang terlibat dalam kaji selidik ini dinasihatkan untuk memastikan setiap pengumpul data menunjukkan kad pengenalan mereka yang dicipta khas bagi kaji selidik ini berserta dengan surat kebenaran daripada kementerian sebelum menjalankan kajian tersebut,” jelasnya.

Semua maklumat yang diperolehi dikategorikan sebagai sulit yang mana identiti dan butiran peribadi peserta tidak akan diumumkan.

Kaji selidik ini dijalankan setiap hari termasuk pada hujung minggu dan hari kelepasan awam antara pukul 8 pagi hingga 9 malam, sehubungan itu, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi melancarkan proses kajian ini.

Data terakhir yang diperolehi daripada kaji selidik ini digunakan untuk membantu Kementerian Kesihatan bagi menilai serta memperbaiki langkah pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit seterusnya mencapai visi Kementerian Kesihatan iaitu Bersama Ke Arah Warga Sihat 2035.

Berdasarkan Laporan Pelan Tindakan Kebangsaan Pelbagai Sektor bagi Mencegah dan Mengawal Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (BruMAP-NCD) 2013-2018 selama empat dekad lalu, punca utama kematian di Brunei adalah penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain.

Pada tahun 2012, dianggarkan 50.8 peratus lelaki dan 54.4 peratus perempuan di negara ini meninggal dunia akibat penyakit tersebut berbanding tahun 2008 sebanyak 48.8 peratus lelaki dan 38.3 peratus perempuan.

Ini menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan drastik yang mana ia memerlukan tindakan segera daripada pelbagai pihak.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Promosi Kesihatan di talian 2385800 sambungan 210/226/227 atau melalui e-mel ke alamat nncd.workforce@gmail.com atau melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Umum Kementerian Kesihatan, Dr Awang Zainal Ariffin bin Haji Awang Yahya, Ketua Unit Kualiti, Polisi, Penyelidikan dan Pembangunan di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dr Haji Azlan bin Haji Jaludin dan Pensyarah Institut Sains Kesihatan, Universiti Brunei Darussalam, Dayang Armah binti Haji Tengah.

ARTIKEL YANG SAMA