Lebih $470,000 berjaya dikumpul

Lebih $470,000 berjaya dikumpul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Sejumlah $478,789.16 telah berjaya dikutip sepanjang tiga bulan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal ditubuhkan sejak 30 April lalu hingga 31Julai 2015 dan ditutup secara rasmi, hari ini, dengan mesyuarat penutupan tabung.

Jumlah berkenaan termasuk $184,395.78 yang diterima daripada pelbagai pihak terdahulu sebelum mesyuarat penutupan tabung berkenaan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis untuk menerima sumbangan derma berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Sumbangan sebanyak $8,866.10 telah diterima daripada Kementerian Pendidikan, $6,843.36 daripada Jabatan Perdana Menteri yang mana kutipan itu telah diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), $3,281.06 daripada Kementerian Kewangan, $17,741.03 daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid, $424.00 daripada Jabatan Belia dan Sukan, $8,500 daripada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, $1,626.20 daripada Jabatan Daerah Belait, dan $1,507.60 daripada Jabatan Daerah Tutong.

Yang Berhormat Pengiran Dr Haji Mohammad ketika menerima sumbangan daripada pihak penyumbang.
Yang Berhormat Pengiran Dr Haji Mohammad ketika menerima sumbangan daripada pihak penyumbang.

Sementara itu, DST menyerahkan sumbangan sebanyak $36,408 hasil daripada perkhidmatan SMS Brunei Prihatin bagi tabung berkenaan dan $5,000 kutipan daripada pegawai dan kakitangannya, manakala itu, Progresif Cellular pula menyerahkan sejumlah $13,251 juga hasil daripada kempen SMS Brunei Prihatin.

Di majlis itu juga, Persatuan Bank-Bank di Negara Brunei Darussalam menyerahkan sumbangan sebanyak $21,941.74 yang mana sumbangan derma berkenaan juga telah diserahkan kepada JAPEM, Brunei Shell Petroleum sebanyak $50,000, TelBru Berhad sebanyak $10,000, ISB menyerahkan $7,188.89, SM Chung Hwa sebanyak $823, SM Sufri Bolkiah sebanyak $220, Heroes Event Management berjumlah $18,888 dan $670.90 lagi diterima daripada Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Selepas penyerahan derma berkenaan, mesyuarat penutupan tabung oleh Jawatankuasa Urus Setia Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal telah dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

Mesyuarat berkenaan bersetuju bahawa mulai pada hari ini, Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal ditutup secara rasminya, sekali gus menandakan pembubaran jawatankuasa tabung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA