Lebih 48,000 perceraian pasangan Islam dari Januari-Julai

Lebih 48,000 perceraian pasangan Islam dari Januari-Julai

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata daripada jumlah itu, tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi adalah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

“Kajian mendapati kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah.

“Antara punca yang dikenal pasti adalah tiada persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus) dan isteri curang (11.8 peratus),” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Siti Zailah bertanya mengenai statistik terkini perceraian di negara ini sejak 2014 hingga 2016 mengikut pecahan negeri dan bangsa serta kaedah yang akan diambil kementerian bagi menangani perkara tersebut.

Azizah berkata menyedari masalah tersebut, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha bagi memantapkan institusi perkahwinan termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kekeluargaan, diselia Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di setiap negeri.

Beliau berkata unit kaunseling itu dikendalikan 17 kaunselor dan 61 kaunselor panel bertauliah. Menurut Azizah, kementeriannya juga akan menambah baik modul kursus perkahwinan sedia ada dengan mengambil kira aspek media sosial yang mampu menjadi punca utama krisis rumah tangga sehingga menyebabkan berlakunya perceraian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA