Lebih 5 hektar terbakar

Lebih 5 hektar terbakar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Jan – Kebakaran hutan seluas lima hingga 10 hektar di kawasan Lebuh Raya Mumong Bypass, di sini, telah berjaya dikawal dan usaha memantau, mengawal serta memadam mana-mana potensi insiden kebakaran akan dipertingkatkan serta diteruskan lagi sehingga keadaan reda.

Semasa ditemui Media Permata di kem operasi berdekatan dengan kawasan terjejas di Lebuh Raya Mumong Bypass, hari ini, Pemangku Stesen Komander Balai Bomba Seria Pegawai Kanan Muhammad Ali bin Hassan berkata, fokus utama pada masa ini adalah untuk mengurangkan sebarang risiko bahaya kesan daripada kebakaran hutan berdekatan dengan jalan raya yang selalu digunakan orang ramai untuk menuju ke destinasi Kampung Mumong, Sungai Teraban dan Kuala Belait.

Beliau berkata, rancangan pihak bomba adalah untuk membanjiri kawasan tanah gambut dengan sebanyak air yang mungkin tetapi, menegaskan bahawa ini akan mengambil sedikit masa.

Namun begitu, beliau yakin bahawa dengan sokongan bekalan tangki-tangki air daripada Jabatan Kerja Raya, Brunei Shell Petroleum serta Balai Bomba Kuala Belait, kerja-kerja memadam api akan berjalan dengan lancar.

Kebakaran hutan yang berlaku berdekatan dengan Lebuh Raya Mumong Bypass dianggarkan seluas lima hingga 10 hektar.
Kebakaran hutan yang berlaku berdekatan dengan Lebuh Raya Mumong Bypass dianggarkan seluas lima hingga 10 hektar.

pg12_160127_b

“Kerja-kerja operasi akan berjalan dari jam 7 pagi hingga 7 malam, oleh kerana ia sangat berbahaya untuk beroperasi di waktu malam, operasi memadam kebakaran akan beralih ke operasi memantau untuk memastikan bahawa tidak ada bahaya kepada orang ramai,” kata Awang Muhammad Ali.

Beliau juga menasihati para pemandu agar berhati-hati apabila melalui jalan berkenaan sepanjang waktu terutamanya pada waktu malam apabila asap tebal boleh menjejaskan penglihatan orang ramai.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Cawangan ‘B’ Belait, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Muhd Shahreeni bin Haji Yusof memberitahu Media Permata bahawa seramai 25 orang kakitangan dan anggota bomba dengan tiga jentera bomba telah disediakan dan ditempatkan di kem operasi bagi mengawasi sebarang insiden api kebakaran di hutan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA