Lebih 50 ahli Pengakap Tunas terima lencana

Lebih 50 ahli Pengakap Tunas terima lencana

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Lebih daripada 50 orang ahli Pengakap Tunas dari empat buah sekolah telah menyertai latihan, ujian dan berjaya untuk menerima Lencana Anak Panah Gangsa dalam Majlis Penyampaian Lencana yang berlangsung di Bangunan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Gadong, hari ini.

Hadir di majlis dan menyempurnakan penyampaian Lencana Anak Panah Gangsa kepada ahli-ahli Pengakap Tunas dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok; Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata; Sekolah Rendah Tungku dan Sekolah Stella yang diraikan ialah Pegawai Eksekutif PPNBD, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad.

Latihan dan ujian lencana yang dikendalikan oleh PPNBD melalui Bahagian Pengakap Tunas itu dibahagikan kepada dua sesi.

Sesi pertama yang dijalankan untuk ahli-ahli Pengakap Tunas iaitu dengan mengenali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai Penaung Pengakap Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengakap; Yang Di-Pertua, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas; Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali serta lain-lain pesuruhjaya pengakap, mengenal bendera kebangsaan dan bendera kerabat-kerabat diraja, mengetahui panji-panji serta sejarah lagu kebangsaan negara.

Haji Mohd Zali menyampaikan Lencana Anak Panah Gangsa kepada ahli Pengakap Tunas.
Haji Mohd Zali menyampaikan Lencana Anak Panah Gangsa kepada ahli Pengakap Tunas.
Haji Mohd Zali bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengakap Tunas.
Haji Mohd Zali bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengakap Tunas.

Mereka juga menyertai sesi pertolongan cemas mengenai menjaga kebersihan, merawat luka yang ringan dan membuat anduh serta turut diajar mengenali dan mengetahui alam semula jadi mengenai pokok pisang dan pokok simpur.

Manakala itu, bagi sesi latihan kedua pula, ia menumpukan kepada latihan memberi arahan kawad statik, mengetahui isyarat-isyarat sulit pengakap, simpulan Buku Sila serta penerangan mengenai penjelajahan. Juga mengetahui Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap Tunas.

Di akhir sesi latihan itu, ahli-ahli Pengakap Tunas telah diuji secara lisan sebelum dianugerahkan Lencana Anak Panah Gangsa.

Menurut Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi, yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, latihan itu bermatlamat untuk membantu Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas mengendalikan latihan mingguan secara bersama di samping memudahkan pengajaran sistem latihan yang lebih sepadu dan selaras bagi ahli-ahli Pengakap Tunas dalam mendapatkan anugerah lencana tertinggi Pengakap Tunas.

ARTIKEL YANG SAMA