Lebih 50 hadiri forum PSI

Lebih 50 hadiri forum PSI

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Pelbagai kebaikan yang boleh diperolehi oleh ibu dari aktiviti penyusuan susu ibu (PSI) kepada anak damit mereka antaranya seperti mengurangkan kemurungan selepas bersalin, mudah mengurangkan berat badan dan banyak lagi.

Perkara itu ditekankan oleh Konsultan Obstetrik dan Ginekologi JPMC, Dr. Kavitha Ponnusamy Gundugola FRCOG dalam siri Forum Penekanan Kepentingan Penyusuan Susu Ibu dan Laktasi yang dianjurkan oleh Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) yang berlangsung di Dewan Bahtera II, Hotel Badi’ah, di sini, petang tadi.

Dr. Kavitha menyatakan, penyusuan badan dapat membantu anak damit melawan infeksi semasa bulan-bulan pertama kehidupan mereka kerana susu ibu mengandungi antibodi yang dapat membantu melindungi anak damit yang baru lahir daripada jangkitan penyakit.

Tambahnya lagi, tema tahun ini menekankan keperluan untuk menyokong sistem dan polisi yang lebih baik bagi membolehkan ibu-ibu bekerja mempunyai masa untuk menyusukan anak mereka.

Dengan sokongan yang mencukupi, nasihat dan galakan oleh majikan, pengurusan, rakan sekerja dan saudara, semua ibu-ibu boleh bekerja dengan menitikberatkan tanggungjawab mereka kepada anak damit.

Ketua Pemasaran JPMC (kiri) dan Dr. Kavitha (kanan) di forum yang diadakan di JPMC.
Ketua Pemasaran JPMC (kiri) dan Dr. Kavitha (kanan) di forum yang diadakan di JPMC.
Antara ibu-ibu dan bakal ibu yang hadir di forum mengenai PSI itu.
Antara ibu-ibu dan bakal ibu yang hadir di forum mengenai PSI itu.

Sejurus selepas taklimat itu, sesi soal jawab interaktif antara tetamu yang hadir serta demonstrasi pengurutan juga disampaikan oleh jururawat-jururawat JPMC yang mengajarkan para peserta yang hadir dengan tip untuk meningkatkan pengeluaran air susu diikuti dengan tunjuk cara bagaimana mengenakan penutup payu dara dengan betul yang disampaikan oleh Lili Yong Goh dari Lilli Lingerie.

Forum yang dihadiri oleh kira-kira 50 tetamu yang terdiri daripada ibu-ibu bekerja dan bakal ibu-ibu itu adalah bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut secara global dengan temanya “Breastfeeding and Work: Let’s Make It Work!”.

Tema itu bersesuaian untuk memberikan sokongan penuh dengan gabungan penyusuan ibu dan ibu berkarier yang bertujuan untuk memberi kuasa kepada semua yang berkenaan dalam sektor formal atau tidak formal atau hanya di rumah.

Terdahulu sebelum forum berlangsung, Ketua Pemasaran JPMC, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, di JPMC, mereka menggalakkan semua ibu yang baru melahirkan dan bakal-bakal ibu untuk menyusukan anak-anak mereka dengan susu ibu memandangkan ia bukan sahaja penting untuk anak damit baru lahir tetapi juga memberikan pengalaman ikatan kemesraan di antara ibu dan juga anak.

JPMC mengadakan forum ini untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di antara ibu-ibu dan profesional kesihatan mereka untuk membincangkan perkara-perkara yang berhubung dengan penyusuan susu ibu.

Forum yang juga dihadiri oleh Pentadbir Hospital JPMC, Chris Carvalho itu disokong oleh The Body Shop Brunei dan Lilli Lingerie.

ARTIKEL YANG SAMA