Lebih 50 hadiri jerayawara keselamatan pelantar minyak

Lebih 50 hadiri jerayawara keselamatan pelantar minyak

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dengan kerjasama pihak Brunei Shell Petroleum (BSP), hari ini, telah mengadakan Jerayawara Keselamatan Pelantar Minyak Luar Pantai, di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama.

Lebih 50 orang yang terdiri daripada pengusaha perusahaan menangkap ikan, pelaut dan nelayan di Daerah Brunei dan Muara, menghadiri jerayawara berkenaan yang turut mendapat sokongan daripada pihak Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei, jerayawara telah diisi dengan taklimat-taklimat keselamatan yang disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Brunei Shell Petroleum.

Di samping itu, pegawai-pegawai daripada pihak Tentera Laut Diraja Brunei, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perikanan, turut sama-sama menjayakan jerayawara berkenaan.

Jerayawara ini bertujuan memberi kesedaran umum tentang keselamatan orang ramai khususnya para pelaut dan nelayan-nelayan supaya jangan menghampiri pelantar minyak luar pantai yang mengandungi apa jua binaan dan struktur dalam lingkungan 500 meter.

Para pegawai yang terlibat sama dalam menjayakan jerayawara berkenaan.
Para pegawai yang terlibat sama dalam menjayakan jerayawara berkenaan.

Sementara itu, taklimat keselamatan yang disampaikan memfokuskan tentang risiko dan bahaya apabila kapal atau perahu menghampiri pelantar minyak luar pantai yang boleh mengakibatkan letupan, kebocoran, maut, kecederaan dan kerosakan harta benda.

Taklimat ini diharap dapat menimbulkan kesedaran tentang kesalahan-kesalahan dan hukumannya.

Mengikut Perintah Perkapalan Pedagang (Zon-Zon Keselamatan) (Pindaan) 2013, kapal atau perahu tidak boleh memasuki jarak lingkungan 500 meter daripada binaan-binaan yang terletak dalam lingkungan kawasan perairan wilayah dan pesisiran laut Negara Brunei Darussalam.

Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 132 (6), Perintah Perkapalan Pedagang 2002 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $100,000, sementara itu, kapal atau perahu boleh ditahan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, pelantar-pelantar minyak Champion Shoal, Magpie, Fairley, Barat Daya Ampa, Fairley-Baram, dan Gannet-Pandan telah diisytiharkan sebagai kawasan zon-zon keselamatan di perairan Negara Brunei Darussalam bagi maksud perkara 60 (4) dari Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982.