Lebih 50 sertai kempen derma darah

Lebih 50 sertai kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Dengan kerjasama AIA Company Limited, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah mengadakan kempen derma darah semasa Pesta Pengguna ke-17 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Menurut kenyataan JPMC, kempen Jumaat lalu itu telah menarik minat lebih 50 orang penderma. Kempen ini berobjektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah, menyelamat nyawa dan menambah tabung darah negara ini.

“Setiap titik darah anda adalah berharga,” ujar jururawat tabung darah JPMC, Romeo Tabios. Di samping memberi balik kepada masyarakat, menderma darah juga memberikan faedah kesihatan dan mental kepada penderma.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum menderma darah, bakal penderma terlebih dahulu ditanya mengenai sejarah ringkas kesihatan mereka dan menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal asas.

Para penderma akan dapat mengetahui beberapa faktor untuk dipertimbangkan seperti denyutan, tekanan darah, suhu badan, kolesterol dan paras hemoglobin.

Antara yang menyertai kempen derma darah tersebut.
Antara yang menyertai kempen derma darah tersebut.

Semasa kempen berkenaan, para penderma juga dikehendaki mengisi borang pendaftaran dan menjalani pemeriksaan tekanan darah bagi memenuhi keperluan.

Setelah menderma darah, mereka akan diberikan beg kudap-kudapan yang ditaja oleh JPMC dan AIA Company Limited.