Lebih 50 sertai program berkhatan

Lebih 50 sertai program berkhatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Sept – Lebih 50 orang kanak-kanak berusia sembilan tahun ke atas akan menyertai program berkhatan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait bermula 8 September ini bersempena cuti persekolahan penggal kedua bulan ini,

Lapan orang daripada mereka merupakan kanak-kanak bukan beragama Islam, setelah ibu bapa mereka membenarkannya apabila menyedari kebaikan berkhatan dari segi kebersihan dan kesihatan.

Sehubungan itu, Majlis Doa Selamat Berkhatan ke-9 telah berlangsung petang tadi di Dewan Serbaguna Hospital Suri Seri Begawan di sini, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif HSSB, Awang Mohamad bin Haji Abdul Hamid.

Pengerusi majlis anjuran bersama Bahagian Pengurusan Hospital, Unit Keagamaan dan Unit Pembedahan Pesakit Luar (SOPD) hospital tersebut, Haji Mohd Fadilah bin Haji Aji dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa majlis tersebut antara lain bertujuan untuk memanjatkan doa keselamatan dan keberkatan kepada Allah S.W.T supaya aktiviti berkhatan akan dapat berjalan dengan lancar dan mendapat rahmat-Nya.

Sementara itu, Awang Mohamad ketika ditemui berkata, majlis tersebut adalah bagi meningkatkan hubungan baik hospital dengan ahli keluarga kanak-kanak yang akan mengikuti program itu.

Antara kanak-kanak yang akan melakukan proses berkhatan semasa cuti persekolahan penggal kedua bermula Khamis ini, di Wad 15, Tingkat Dua, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Antara kanak-kanak yang akan melakukan proses berkhatan semasa cuti persekolahan penggal kedua bermula Khamis ini, di Wad 15, Tingkat Dua, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Menurutnya, dengan adanya sokongan daripada orang ramai, majlis seperti itu yang telah diadakan sejak tiga tahun kebelakangan dapat diteruskan dengan lancarnya. Katanya lagi, majlis tersebut bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan baik dengan masyarakat sekeliling di daerah ini.

Sementara itu, Pegawai Jururawat Klinik-klinik Pakar HSSB, Hajah Sadiah binti Haji Mahdi ketika ditemui media menjelaskan, keramaian kanak-kanak berkhatan pada musim cuti sekolah semakin meningkat pada musim cuti persekolahan akhir tahun di bulan Disember. Menurutnya, daripada jumlah yang berkhatan pada musim ini, ia akan dibahagikan kepada dua iaitu seramai 14 orang dilakukan secara pembedahan oleh doktor pakar manakala itu, 30 orang lainnya menggunakan kaedah suntikan pelali.

Menurutnya lagi, pendaftaran bagi kanak-kanak berkhatan telah dibukakan di Bahagian Pesakit Luar kira-kira dua bulan sebelum cuti persekolahan, borang kemudiannya dibawa ke Unit Pembedahan untuk mendapatkan perjanjian berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan sebelum pembedahan. Beliau juga menjelaskan, umur yang diterima untuk melakukan khatan adalah sembilan tahun ke atas, dan jangka penyembuhan selepas berkhatan hanyalah dalam masa tiga ke empat hari dan ia tidak mengganggu kehadiran untuk bersekolah apabila sekolah mulai dibuka.

Bagi kanak-kanak yang berkhatan dengan kaedah pembedahan, tambah beliau, mereka akan membuat pemeriksaan susulan doktor, manakala bagi mereka yang menggunakan kaedah suntikan pelali, hanya akan diperiksa dan diberikan ubat jika berlaku jangkitan kuman.

Jururawat Bilik Bedah, Awang Noor Zain Abdullah pula menjelaskan kepada Media Permata, selepas berkhatan kanak-kanak akan dibekalkan dengan ubat penahan sakit dan ubat menghindari jangkitan kuman, bagaimanapun bagi kanak-kanak yang menggunakan kaedah pembedahan, pemeriksaan susulan selepas seminggu akan dilakukan.

Menurutnya, sebelum proses berkhatan dilakukan, kanak-kanak akan diterangkan dulu tentang berkhatan supaya menghilangkan rasa takut mereka, selain mereka turut dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menghindari daripada menunggang basikal, main bola dan sebagainya selepas berkhatan untuk menghindari pendarahan berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA