Lebih 500 hektar hutan terbakar, sejak Januari

Lebih 500 hektar hutan terbakar, sejak Januari

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Seluas 583.34 hektar kawasan, yang termasuk 429.82 hektar hutan dan 153.52 hektar rumput, telah terbakar sejak Januari hingga 9 Mac 2016, berdasarkan statistik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Statistik berkenaan turut menunjukkan bahawa Februari mencatat jumlah tertinggi kebakaran berbanding Januari iaitu seluas 468 hektar berbanding 52.65 hektar pada Januari.

Mengikut pecahan kebakaran hutan dan rumput, seluas 29.39 hektar kebakaran hutan dan 23.36 hektar kebakaran rumput dicatat pada Januari, sementara pada Februari pula mencatat seluas 346.08 hektar hutan dan 121.29 hektar rumput.

Manakala itu, setakat 9 Mac, seluas 54.35 hektar kebakaran hutan dan 8.34 hektar kebakaran rumput telah dicatatkan.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 579 panggilan kecemasan bagi kebakaran hutan dan rumput telah dilaporkan, dengan 382 panggilan bagi kebakaran hutan dan 193 bagi kebakaran rumput.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat itu menunjukkan, dari Januari hingga Mac 2016, sebanyak 238 panggilan kecemasan diterima bagi Daerah Brunei dan Muara, dengan 171 bagi kebakaran hutan dan 67 bagi kebakaran rumput.

Daerah Belait pula mencatatkan sebanyak 199 panggilan iaitu 117 panggilan bagi kebakaran hutan dan selebihnya panggilan bagi kebakaran rumput, sementara itu, Daerah Tutong mencatat 133 panggilan iaitu 90 bagi kebakaran hutan dan 43 bagi kebakaran rumput.

Sementara itu, Daerah Temburong hanya mencatat lima panggilan kebakaran iaitu empat bagi kebakaran hutan dan satu panggilan bagi kebakaran rumput.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka terutama pada musim kering atau kemarau kerana kebakaran akan mudah terjadi ditambah dengan keadaan angin kencang yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat ke hutan daripada sekala kecil kepada besar.

Kejadian kebakaran hutan ini boleh menjejaskan lagi keadaan cuaca dan kualiti udara serta mengakibatkan kebakaran berlanjutan yang menyebabkan jerebu dan menjejaskan kesihatan awam, membahayakan keselamatan di laut, darat dan udara serta memusnahkan kehijauan alam semula jadi.

ARTIKEL YANG SAMA