Lebih 500 Sertai Belusir 2016

Lebih 500 Sertai Belusir 2016

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Daerah Tutong

TUTONG, 24 April – Lebih 500 orang peserta berkumpul dari awal pagi untuk sama-sama beriadah sambil beramal bagi SMARTER Brunei dalam Acara Larian Amal Daerah Tutong, Belusir 2016, yang bermula dan berakhir di Kompleks Sukan, Daerah Tutong, hari ini.

Larian amal yang dianjurkan oleh Syarikat Seas dengan kerjasama ZA Barakah serta disokong oleh Pejabat Daerah Tutong dan Jabatan Belia dan Sukan, Daerah Tutong itu telah dirasmikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah.

Sebanyak lapan kategori dibukakan dalam larian berkenaan iaitu 13 kilometer veteran lelaki dan wanita, 13 kilometer terbuka lelaki dan wanita, 5 kilometer lelaki dan wanita serta larian fun run 3 kilometer dan 1.5 kilometer.

Bagi larian 13 kilometer lelaki veteran, juara disandang oleh Awang Hassan bin Haji Kamis yang mencatatkan masa 66.27 minit manakala tempat kedua ialah Haji Mohammad Azmi Haji Suhaili dan tempat ketiga ialah Awang Abdul Ramlan bin Ma’arof.

Haji Adnan ketika melepaskan para peserta Acara Larian Amal Daerah Tutong, Belusir 2016.
Haji Adnan ketika melepaskan para peserta Acara Larian Amal Daerah Tutong, Belusir 2016.
Aksi kanak-kanak yang turut serta dalam larian tersebut.
Aksi kanak-kanak yang turut serta dalam larian tersebut.
Haji Adnan menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang larian amal tersebut.
Haji Adnan menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang larian amal tersebut.

Bagi larian 13 kilometer wanita veteran, dengan mencatatkan masa 77.58 minit juara disandang oleh Airince William, di tempat kedua ialah Dayang Siti Fatimah bin Haji Abu Bakar dan tempat ketiga ialah Angela Mann.

Larian 13 kilometer lelaki terbuka pula dijuarai dengan Awang Muhammad Samsul bin Zamri dengan catatan masa, 55.57 minit dan diikuti oleh Awang Mod Nor Risman bin Ismail di tempat kedua dan tempat ketiga ialah Awang Razali bin Sabli.

Bagi larian 13 kilometer wanita terbuka, juara disandang oleh Dawn Levell yang mencatatkan masa 81.44 min diikuti di tempat kedua oleh Dayang Noorfiza binti Etis dan tempat ketiga ialah Dayang Norsarinah binti Mat Taha.

Sementara itu, bagi larian 5 kilometer lelaki, juara dengan mencatatkan masa 17.21 min ialah Awang Muhd Qamarul Arifin bin Hifni yang diikuti oleh Haji Jupli bin Haji Pangis di tempat kedua dan Awang Mohd Nazrol Effendy bin Ali Hassan di tempat ketiga.

Bagi larian 5 kilometer wanita, juara ialah Dayang Fatin binti Ismail yang mencatatkan masa 22.38 minit, Dayang Shazana binti Hamiroidzam di tempat kedua dan Dayangku Nurul Aina Syafiqah binti Pengiran Haji Zainal di tempat ketiga.

Larian amal itu bukan sahaja dihasratkan untuk mendukung inisiatif yang mendukung kegiatan-kegiatan menjurus kepada gaya hidup sihat malahan juga diharap memupuk semangat keharmonian dan ukhuwah dalam kalangan peserta.

Acara juga diharap untuk meningkatkan daya saing yang positif, mengeratkan silaturahim, menjalinkan sifat kekeluargaan melalui kegiatan riadah bersama serta untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan iaitu sikap beramal sambil beriadah.

Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman menyatakan bahawa larian amal Belusir 2016 itu menunjukkan sokongan kuat dan berterusan yang diberikan masyarakat kepada SMARTER Brunei serta menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur dalam sama-sama menghulurkan bantuan bagi persatuan itu.

Beliau berkatam walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, SMARTER Brunei terus tekun memberikan perkhidmatan dan pendidikan kepada pelajar-pelajar istimewanya di mana ia telah menjadi salah sebuah persatuan latihan dan pendidikan autistik yang dihormati di rantau Asia Tenggara.

Malai Haji Abdullah juga melahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan melalui larian amal itu yang menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai SMARTER Brunei di mana acara itu merupakan salah satu cara untuk mendekati serta membina jambatan penghubung ke arah integrasi individu autistik dengan masyarakat.

Menurutnya lagi, masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai keperluan individu autistik di negara ini dan langkah seterusnya adalah untuk meningkatkan penerimaan mereka dengan tiada diskriminasi dan sokongan serta galakan masyarakat.

“Saya percaya ini boleh dicapai jika kita terus percaya kepada mereka, mengenai perbezaan mereka dan bersedia untuk menerima dan mengintegrasikan mereka dalam kehidupan harian.”

ARTIKEL YANG SAMA