Lebih 500 sertai Larian Reben Merah

Lebih 500 sertai Larian Reben Merah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Lebih 500 orang telah menyertai Larian Reben Merah 2016 anjuran Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) yang bermula dan berakhir di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas, hari ini.

Acara larian berkenaan telah dirasmikan oleh Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC), Awang Iswandy bin Ahmad yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Larian telah dibahagikan kepada kategori 10km, 5km dan 3km, masing-masing bagi lelaki dan perempuan.

Bagi kategori 10km lelaki, juara disandang oleh Awang Sefli Ahar, diikuti oleh Awang Muhd Qamarul Arifin Hifni di tempat kedua dan Awang Mohd Samsul Zamri di tempat ketiga. Manakala itu, bagi kategori 10km perempuan pula, Jenny Tan muncul juara sementara itu, Maggie Rait dan Dayang Fatin Ismail, masing-masing memenangi tempat kedua dan tempat ketiga.

Larian berkenaan telah berjaya mengumpulkan sebanyak $8,145.24 untuk Tabung BDAC dan majlis penyampaian cek juga telah diadakan selepas larian berkenaan, yang disampaikan oleh wakil Universiti Brunei Darussalam (UBD) kepada Setiausaha Pentadbiran BDAC, Dayang Khalillah binti Khalid.

Presiden BDAC merasmikan Larian Reben Merah.
Presiden BDAC merasmikan Larian Reben Merah.

Semasa ditemui, Dayang Khalillah menjelaskan, larian berkenaan diadakan bagi menyebarkan maklumat mengenai HIV dan AIDS dan perkara yang berkaitan di Brunei Darussalam, tanpa mengira usia, agama atau bangsa dengan mengadakan acara sukan larian yang digemari di negara ini.

Selain itu, ia juga diadakan untuk menangani dan mengurangkan isu stigma dengan memberi ruang kepada orang ramai datang ke hadapan apabila mereka benar-benar memerlukan bantuan, tambah beliau.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, mahasiswa Tahun 3 dari UBD yang menjalani Program Tahun Penemuan telah diberikan program latihan amali di bawah BDAC untuk menjalankan acara pengumpulan dana.

Tambahnya, acara tersebut diadakan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan dan Heroes Event Management sebagai penganjur bersama.

Muhd Qamarul memenangi tempat kedua bagi kategori 10km lelaki.
Muhd Qamarul memenangi tempat kedua bagi kategori 10km lelaki.
Wakil UBD menyerahkan cek kepada wakil BDAC.
Wakil UBD menyerahkan cek kepada wakil BDAC.

Sementara itu, Kapten Kelab Penyinar (bahagian belia BDAC), Awang Mohd Rafee Isa ketika ditemui menekankan bahawa para belia perlu meningkatkan dan mengetahui lebih lanjut mengenai isu-isu berkaitan kesihatan peribadi mereka.

“Sebagai contoh HIV dan AIDS serta STD/STI, kerana perkara ini juga dianggap sebagai isu kebangsaan, kerana para belia merupakan pemimpin masa depan dan akan memacu pembangunan sosioekonomi negara”.

Menurutnya lagi, Brunei sangat bertuah kerana memberikan perkhidmatan kesihatan secara percuma, “bayangkan jika kita berada di negara-negara lain, di mana mereka yang menghidap penyakit HIV atau AIDS atau apa jua jenis penyakit perlu membayar untuk perubatan dan penjagaan kesihatan mereka.

“Ini sebabnya mengapa pengetahuan kesihatan reproduktif dan kesedaran adalah sangat penting,” tambahnya.