Lebih 5,000 sertai Larian Terima Kasih Cikgu

Lebih 5,000 sertai Larian Terima Kasih Cikgu

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Kementerian Pendidikan hari ini menyumbangkan sebanyak $12,310 kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA)hasil daripada kutipan Larian Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru ke-26 tahun.

Manakala Tabung Ikhlas (Unit Pendidikan Khas) juga menerima sumbangan derma sebanyak $10,000. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selepas acara larian berkenaan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Lebih 5,000 peserta menyertai Larian Terima Kasih Cikgu tahun ini yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum  Kementerian Pendidikan dan dirasmikan pelepasannya oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Juga hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, rektor, naib-naib canselor, timbalan- timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan serta para guru di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Menteri Pendidikan ketika menyertai sesi pemanasan badan pada acara tersebut.
Menteri Pendidikan ketika menyertai sesi pemanasan badan pada acara tersebut.
ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan.
ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan.

Larian Terima Kasih Cikgu diadakan sebagai salah satu acara sukan riadah yang diungkayahkan khas bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru 2016, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya amalan hidup sihat melalui aktiviti riadah.

Ia juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara pegawai, guru-guru, kakitangan dan ahli keluarga dan sebagai salah satu usaha Kementerian Pendidikan bagi membantu mengurangkan obesiti di kalangan warga perkhidmatan awam terutama sekali khususnya warga Kementerian Pendidikan.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada warga Kementerian Pendidikan dan orang ramai memberikan sumbangan kepada YASKA dan Tabung Ikhlas (Unit Pendidikan Khas).

Larian dibahagikan kepada dua kategori iaitu Fun Run Lelaki 4 Kilometer dan Fun Run Perempuan 3.5 Kilometer.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan yang dipimpin oleh pegawai-pegawai Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan para penuntut Sekolah Sukan.

ARTIKEL YANG SAMA