Lebih 5,000 usahawan dijangka sertai GREAT 2016 di Kuching

Lebih 5,000 usahawan dijangka sertai GREAT 2016 di Kuching

KUCHING, 4 Mac (Bernama) – Lebih 5,000 usahawan dijangka menyertai program Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat atau GREAT 2016, yang dijadualkan pada 2 dan 3 April di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Pelancaran awal GREAT 2016 dirasmikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi MaGIC Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah di BCCK di sini hari ini.

Diilhamkan oleh Kementerian Kewangan dan Pejabat Pembangunan Usahawan Kebangsaan, dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) serta kerajaan Sarawak, program ini akan menawarkan peluang dan akses kepada program usahawan yang tidak mudah disediakan untuk usahawan tempatan.

Mohd Irwan berkata program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 3 April, menyenaraikan aktiviti menarik untuk usahawan dan para pengunjung.

GREAT pertama kali diadakan pada 2014 di MaGIC, Cyberjaya, menarik lebih 6,000 pelawat.

“Programnya termasuk sesi panel dan kelas mengenai pembangunan keusahawanan oleh agensi-agensi kerajaan dan usahawan terkemuka dari Malaysia dan Lembah Silikon,” kata Mohd Irwan.

Beliau berkata antara kluster di GREAT 2016 ialah belia dalam bidang keusahawanan, keusahawanan sosial, makanan halal dan keusahawanan pertanian, runcit dan perkhidmatan, fesyen, pelancongan dan kebudayaan, wanita dan keusahawanan dan teknologi hijau dan menambah bahawa warga Sarawak telah dilantik mengetuai Magic Sarawak yang akan membawa apa yang istimewa tentang Sarawak ke peringkat dunia.

Mohd Irwan berkata acara itu akan bertindak sebagai platform untuk bakal usahawan menimba ilmu, mendapatkan bantuan dan pandangan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pakar-pakar dan peserta dari sektor peruncitan, pelancongan, kebudayaan dan keusahawanan sosial.

Selain bakat-bakat mudanya yang inovatif, beliau berkata Sarawak dipilih bagi GREAT 2016 kerana ekonominya yang kukuh dan maju serta terdapat banyak potensi yang belum diterokai termasuk budaya, makanan dan juga dalam teknologi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Irwan berkata menjadi usahawan bukan mengenai wang semata-mata dan mereka yang sudah berjaya dalam perniagaan harus menyumbang kembali kepada masyarakat, termasuk melatih usahawan muda pada dalam pemasaran, penjenamaan dan menembusi pasaran asing.

Mohd Irwan juga menegaskan mengenai keperluan mengurangkan karenah birokrasi di jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang menghalang pembangunan keusahawanan di negara ini, terutama dalam melambatkan kelulusan lesen dan permit.

Beliau berkata pegawai-pegawai kerajaan harus cepat dan melaksanakan tugas dengan berkesan, yang merupakan sebahagian daripada program transformasi kerajaan.