Lebih 5,000 wanita hamil dijangkiti Zika

Lebih 5,000 wanita hamil dijangkiti Zika

BOGOTA, 14 Feb – Lebih 5,000 wanita hamil di Colombia dijangkiti virus bawaan nyamuk Zika, kata institut kesihatan nasional negara itu hari ini ketika wabak itu semakin pantas tersebar di benua Amerika.

Institut berkenaan dalam satu buletin epidemiologi, berkata jumlah keseluruhan kes dijangkiti virus itu adalah 31,555 dengan 5,013 daripadanya wanita hamil.

Zika, yang merebak ke lebih 30 negara, dikaitkan dengan kecacatan kelahiran, mikrosefali dan penyakit saraf, sindrom Guillain-Barre.

Jumlah kes Zika dilaporkan meningkat kepada 23 peratus berbanding angka minggu lalu, sementara jumlah wanita dijangkiti virus terbabit meningkat 57.8 peratus.

Banyak perkara masih tidak diketahui mengenai Zika termasuk jika ia sebenarnya menyebabkan mikrosefali, bayi dilahirkan berkepala kecil.

Danielle Santos, 29, memegang anaknya, Juan Pedro,  berumur 2 bulan dilahirkan dengan jangkitan microsefali, selepas dimandikan di rumah mereka di Recife, Brazil.  – Reuters
Danielle Santos, 29, memegang anaknya, Juan Pedro, berumur 2 bulan dilahirkan dengan jangkitan microsefali, selepas dimandikan di rumah mereka di Recife, Brazil. – Reuters

Brazil sedang menyiasat hubung kait potensi antara jangkitan Zika dan lebih 4,300 kes disyaki kecacatan kelahiran.

Setakat ini tiada kes mikrosefali dikaitkan Zika di Colombia. Institut berkenaan berkata, 29.4 peratus wanita hamil dijangkiti Zika tinggal di wilayah Norte de Santander, di sepanjang sempadan timur dengan Venezuela.

Buletin itu menunjukkan, rantau Caribbean Colombia yang termasuk destinasi popular pelancong di Cartagena dan Santa Marta, mencatat lebih 12,488 kes virus itu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA